SMK Meru waspada muslihat SMK Sultan Abdul Samad

Antara aksi SMK Meru ketika berdepan SMK Syed Mashor dalam perlawanan suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023. - Foto SMK MERU
Antara aksi SMK Meru ketika berdepan SMK Syed Mashor dalam perlawanan suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023. - Foto SMK MERU
A
A
A

GOL masa kecederaan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Danish Iman Mohd Hizwan membolehkan pasukan dari Klang itu menjinakkan SMK Syed Mashor, 1-0 dalam perlawanan suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 Bawah 15 tahun (B-15) di padang B Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 Shah Alam.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan kendalian Mat Hassan Mat Rofi dari Klang tersebut menempah slot separuh akhir berdepan SMK Sultan Abdul Samad di venue sama pada Jumaat.

SMK Sultan Abdul Samad dari Petaling Jaya mara ke kelompok empat terbaik selepas mengatasi cabaran SMK USJ 4, Subang Jaya, 4-3 di padang JSA Arena Setia Alam.

"Alhamdulillah syukur, saya berpuas hati dengan disiplin dan ketenangan pemain-pemain walaupun kami terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan.

Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Syed Mashor dalam aksi suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023. - Foto SMK MERU
Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Syed Mashor dalam aksi suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023. - Foto SMK MERU

"Pujian juga kepada Danish antara pemain menyerlah dalam perlawanan ini apabila tidak mempersia-siakan peluang dengan tenang melakukan tindakan penyudah untuk gol kemenangan pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mengenai persediaan berdepan SMK Sultan Abdul Samad, Mat Hassan berkata," Untuk recovery pemain-pemain kami ada buat rendam ais selepas perlawanan dan pemain digalakkan minum banyak air putih.

"Setakat ini semua pemain SMK Meru termasuk kesebelasan utama bebas dari pergantungan perlawanan menjelang aksi separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun begitu, saya mengingatkan pemain-pemain supaya tidak membuat kesilapan sehingga dilayangkan kad amaran yang boleh menyebabkan penggantungan perlawanan seterusnya merugikan pasukan," katanya.

Mengenai SMK Sultan Abdul Samad, Mat Hassan menyifatkan lawan anak buahnya itu sebuah skuad yang mampu menghadirkan kejutan sekiranya para pemain memandang rendah keupayaan pasukan tersebut.

"Kita mesti kekal fokus dengan perancangan pasukan kerana bagi saya pasukan lawan mampu membuat kejutan, tambahan pula semua lawan memiliki kualiti apabila berada di peringkat empat terbaik.

Pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan SMK Meru. - Foto SMK MERU
Pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan SMK Meru. - Foto SMK MERU

"Namun begitu kami barisan kejurulatihan SMK Meru, Cikgu Sabri Jaafar, Cikgu Nazreen Naim, Cikgu Faniezat, Cikgu Syukri dan Coach Azhar yakin dengan kemampuan pemain-pemain untuk mengharungi tekanan dan menampilkan permainan terbaik seterusnya melangkah ke perlawanan akhir," katanya.

Dalam pada itu, Mat Hassan mewakili barisan pemain dan kejurulatihan pasukan bola sepak SMK Meru berterima kasih kepada, semua yang memberikan sokongan secara langsung dan tidak langsung kepada pasukan tersebut.

"Saya, barisan kejurulatihan dan pemain amat berterima kasih dengan sokongan padu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan pentabir SMK Meru yang sentiasa memberi sokongan kepada kami dalam mengharungi kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023.

"Sokongan PIBG dan pentabir SMK Meru secara tidak langsung meningkat motivasi pemain-pemain mengharumkan nama sekolah seterusnya daerah Klang," katanya.

Sebagai rekod,, kejohanan tahunan ini mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!