800 atlet meriahkan Sukan Orang Pekak bermula Ahad

Sukan Orang Pekak akan bermula pada Ahad hingga 7 Disember ini. - Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia. (Gambar kecil: Shin Ruenn)
Sukan Orang Pekak akan bermula pada Ahad hingga 7 Disember ini. - Foto Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia. (Gambar kecil: Shin Ruenn)
A
A
A

LEBIH 800 atlet dari 14 negeri akan berkampung di Lembah Klang untuk memeriahkan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) edisi ke-21 bermula pada Ahad hingga 7 Disember ini.

SOPMA yang dikhaskan untuk atlet-atlet pekak adalah setaraf dengan Sukan Malaysia (Sukma) bagi orang normal.

SOPMA kali terakhir ialah pada 2018 yang diadakan di Ipoh, Perak sebelum tertangguh ekoran penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, SOPMA menjadi medan untuk melahirkan atlet pelapis sebelum bakat cemerlang mereka diketengahkan ke pentas antarabangsa di luar negara pada 2024 dan 2025.

Tambahnya, antara temasya berprestasi tinggi bagi mengetengahkan atlet pelapis pekak dari SOPMA ialah Deaflimpik iaitu setaraf dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik.

Deaflimpik akan diadakan pada November 2025 di Jepun.

“SOPMA kembali lagi dengan menjanjikan temasya yang lebih gemilang. Jumlah penyertaan ini dianggap paling ramai sejak SOPMA muncul dalam kalendar arena sukan negara.

“Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 3 Disember jam 8 malam.

Artikel Berkaitan:

“Kesudian menteri untuk merasmikan kejohanan membuktikan satu pengiktirafan tertinggi oleh kerajaan Madani terhadap penglibatan golongan pekak dalam aktiviti sukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Shin Ruenn menjelaskan, bagi tahun 2024 atlet pekak Malaysia akan menyertai Kejohanan Olahraga Pekak Dunia pada Julai di Taiwan dan Kejohanan Sukan Pekak Asia Pasifik di Iran.

Lima sukan utama diadakan sepanjang SOPMA XXI iaitu bola sepak (lelaki) di Padang MSN Bukit Jalil; futsal (wanita) di KLFA, Taman Melawati; boling (Ampang Superbowl USJ); badminton (TT Sport Centre Petaling Jaya) dan olahraga (Kompleks MPKJ Kajang).

Bagi memastikan perjalanan SOPMA XXI berjalan lancar ialah penglibatan lebih 100 sukarelawan yang telah dilatih dengan bahasa isyarat bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan atlet pekak.

AEON BiG adalah penaja utama sepanjang SOPMA XXI berlangsung dengan venue acara diadakan sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Kajang.

Penglibatan AEON BiG membuktikan bahawa pasar raya besar itu bukan sahaja terlibat dalam bidang perniagaan, malah sentiasa membantu komuniti serta menjalankan tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan terhadap golongan istimewa seperti orang pekak.

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed memaklumkan bahawa sukan tanah air amat dekat di hati pihak pengurusan pasar raya besar itu.

Sebagai rekod, AEON BiG menjadi penaja kepada Malaysian Football League, Selangor FC dan Liga Besbol Kebangsaan 2023.

SOPMA XXI juga mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan serta agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan.