MyCARE salur bantuan RM405,000 kepada kakitangan hospital di Gaza

 Dr Ziad Shehada (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan kepada pihak hospital.
Dr Ziad Shehada (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan kepada pihak hospital.
A
A
A

SHAH ALAM - Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Gaza di bawah pimpinan Dr Ziad Shehada akan menyalurkan bantuan RM405,000 kepada 1,600 kakitangan hospital di Gaza.

MyCARE dalam satu kenyataan berkata, ia adalah hasil daripada jalinan kerjasama Kementerian Kesihatan di Gaza yang diwakili oleh Pengurus Besar Hospital Syuhada' Al-Aqsa, Dr Iyad Abu Zaher.

Menurutnya, perjanjian kerjasama itu bertujuan untuk menawarkan bantuan kewangan kepada kakitangan hospital yang telah bekerja tanpa jemu sejak bermulanya konflik.

 Ziad bersama kakitangan hospital.
Ziad bersama kakitangan hospital.

“Dalam siri serangan rejim Zionis ke atas Gaza, kita lihat pekerja-pekerja hospital berpenat lelah merawat mangsa-mangsa perang.

“Mereka meninggalkan keluarga dengan memberikan kapasiti yang maksimum dan tetap teguh di hospital masing-masing serta bersedia untuk berkhidmat walau apa pun terjadi.

“Mereka bekerja tanpa gaji sejak dua bulan lalu dan mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan hospital bagi merawat mangsa sejak konflik serangan terbaru ini berlaku,” katanya di Facebook pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan di Genting Gaza mengumumkan jumlah korban kekejaman rejim Zionis telah melepasi 10,000 orang sejak kempen pengeboman berterusan dilancarkan ke atas wilayah terkepung itu.

Artikel Berkaitan:

Angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding hanya 1,400 kematian yang direkodkan Israel sepanjang tempoh konflik itu berlarutan.

Ziad menyerahkan sumbangan kepada kakitangan hospital di Gaza.
Ziad menyerahkan sumbangan kepada kakitangan hospital di Gaza.

Mengulas lanjut, menurut MyCARE, bantuan itu penting sebagai sokongan terhadap prestasi kerja kakitangan hospital.

Ujarnya, sebarang bantuan boleh disalurkan menerusi akaun CIMB Islamic Bank 8602 135 592.

“MyCARE mengambil keputusan untuk memberikan bantuan sebagai sokongan kepada mereka bagi mengekalkan prestasi terbaik dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.