'Saya tak dak cita-cita jadi PM' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak pernah mempunyai angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak menolak sekiranya diamanahkan parti untuk menjawat jawatan tersebut.

"Saya tak dak cita-cita tapi kalau diberi amanah oleh kepimpinan di mana sahaja saya akan cuba lah untuk parti, untuk jemaah, untuk orang ramai tetapi untuk diri saya tak ada.

"Saya tak boleh letak target dan saya tak ada angan-angan. ALLAH yang mengirimkan saya ke sini sama dengan pemimpin lain, kalau mereka pergi lebih jauh urusan itu serah kepada jemaah parti," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada Selasa mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu mempunyai ramai calon Perdana Menteri seperti Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Idris Ahmad dan beberapa kepimpinan lain termasuk pimpinan muda yang berpotensi seperti Muhammad Sanusi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, jawatan Perdana Menteri kemungkinan boleh dijawat pemimpin Pas seawal tahun depan berikutan Pas mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling tinggi di negara ini.

"Sebelum ini saya pernah cakap pada 2050 itu, Perdana Menterinya daripada Pas tapi itu bukan yang pertama. Mungkin lebih awal daripada itu, seboleh-bolehnya tahun depan lah.

"Pas ada jumlah kerusi Parlimen paling tinggi di antara parti-parti politik yang ada di Malaysia. Itulah asas saya," ujarnya.

Artikel Berkaitan: