Waspada ancaman ulat bulu hitam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihati agar terus berwaspada dan berhati-hati terhadap ancaman ulat bulu hitam atau Rama-Rama Jati di Tebengau, Kedah.

Jabatan Pertanian Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan sekiranya serangan masih berterusan, orang ramai hendaklah merujuk jabatan yang bertanggungjawab.

"Serangan ini pernah berlaku dan berulang di kawasan yang sama pada tarikh 27 November 2016 serta mengakibatkan radang pada kulit sekiranya berlaku sentuhan atau terkena cecair ulat tersebut," katanya pada Khamis.

Jabatan itu berkata, dianggarkan 20 hektar kawasan telah diserang ulat bulu hitam.

"Merujuk pada data yang diambil dari serangan yang lalu, ulat ini dikenali sebagai Hyblaea puera (Carmer, 1777) daripada Order Lepidoptera dan Keluarga Hyblaeidae atau nama biasanya Rama-Rama Jati (Teak Defoliator).

"Serangga tersebut terdapat di kawasan tropika dan hidup secara semula jadi di kawasan hutan dan paya bakau," kata jabatan itu.

Tambahnya, kitaran hidup Rama-Rama Jati itu mengambil masa antara 18 hingga 36 hari iaitu daripada peringkat telur hingga dewasa bergantung kepada keadaan cuaca dan kedapatan sumber makanan.

"Ulat Bulu Hitam atau Rama-Rama Jati ini adalah serangga perosak utama pokok jati dan ia juga perosak minor kepada lebih 45 jenis tumbuhan yang kebanyakannya adalah pokok hutan atau paya bakau termasuk pokok api-api (Avicennia spp.) yang terdapat di pesisiran laut berhampiran kampung tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Serangan perosak ini kerap dilaporkan menyerang kawasan tanaman jati (semula jadi dan komersial) selain tumbuhan hutan di negara-negara Asia Tenggara, India, Mexico Bangladesh, China, Amerika Tengah, Afrika, Australia dan kepulauan Caribbean," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan Penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut dekat Jalan Kuala Kedah resah dengan kehadiran ribuan ulat bulu yang muncul di sepanjang pesisir pantai kawasan itu sejak Selasa lalu.