Lima kes baharu cacar monyet

Dr Muhammad Radzi. Gambar kecil: Jangkitan cacar monyet. - Gambar hiasan
Dr Muhammad Radzi. Gambar kecil: Jangkitan cacar monyet. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima kes baharu jangkitan cacar monyet (Mpox) dilaporkan bagi tempoh 31 Oktober sehingga 29 November menjadikan jumlah kumulatif kes tersebut kepada sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kesemua kes baharu itu melibatkan lelaki dewasa rakyat tempatan.

"Kesemua kes sedang menjalani isolasi di hospital dan berada dalam keadaan kesihatan yang stabil," katanya.

Menurutnya, kesemua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala

timbul.

"Kesemua kontak bagi kes yang disahkan telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka juga sedang dipantau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

"Gejala mpox adalah demam beserta ruam makulopapular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Muhammad Radzi berkata, tempoh inkubasi mpox iaitu daripada tarikh individu terdedah kepada jangkitan sehingga mendapat gejala adalah di antara lima ke 21 hari.

"Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain satu hari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.

"Sehubungan dengan itu, semua kes disyaki atau disahkan mpox perlu menjalani perintah pengasingan sehingga disahkan tidak berisiko untuk menjangkiti orang lain," katanya.

Tambah beliau, lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

"Pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi," katanya.