Warga asing guna bas GoKL dikenakan caj

Bas GoKL diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar dengan menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan awam.
Bas GoKL diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar dengan menggalakkan orang awam menggunakan perkhidmatan awam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenakan caj tambang bas GoKL kepada bukan warganegara secara berperingkat.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi notis arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dikongsikan di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Rabu.

Menurut notis itu, caj tersebut membabitkan perkhidmatan di empat laluan sekitar pusat bandar iaitu laluan 01 (hijau), 02 (ungu), 03 (merah) dan 04 (biru).

"Transaksi pembayaran adalah secara tanpa tunai melalui kad Touch&Go, kod QR atau kad debit," menurut notis tersebut.

Sebelum ini, terdapat pihak meluahkan rasa kurang senang apabila perkhidmatan bas GoKL itu turut dinikmati secara percuma oleh warga asing.

Notis pemakluman caj perkhidmatan bas GoKL terhadap warga asing.
Notis pemakluman caj perkhidmatan bas GoKL terhadap warga asing.

Ia didakwa menyebabkan lambakan warga asing menggunakan kemudahan itu hingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada penumpang warga tempatan.

Notis tersebut bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh kuat kuasa dan kadar caj yang akan dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi notis sama, DBKL turut meminta warganegara untuk membuat pendaftaran di kaunter disediakan bagi melancarkan pengoperasian.

"Warganegara menggunakan Mykad yang mempunyai sistem Touch&Go adalah dikehendaki membuat pendaftaran tersebut bagi menikmati perkhidmatan secara percuma.

"Kaunter pendaftaran akan dibuka mulai 1 Disember 2023 di hentian bas KLCC, hentian akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan hentian akhir Pasar Seni bermula jam 7-12 tengah hari dan 2 petang-7 petang.

"Sementara kaunter pendaftaran lobi Menara DBKL1 pada setiap Rabu mulai 6 Disember 2023, jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang," katanya.

DBKL turut memaklumkan, perkhidmatan GoKL kekal percuma kepada semua kanak-kanak (warganegara, bukan warganegara) berumur 12 tahun ke bawah.