Pesawat tentera AS terhempas di perairan Jepun

Bangkai dipercayai milik pesawat tentera AS MV-22 Osprey yang terhempas ke dalam laut di Pulau Yakushima. - Foto REUTERS
Bangkai dipercayai milik pesawat tentera AS MV-22 Osprey yang terhempas ke dalam laut di Pulau Yakushima. - Foto REUTERS
A
A
A

TOKYO - Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) yang membawa lapan penumpang terhempas di perairan pulau Yakushima, Wilayah Kagoshima di barat daya Jepun pada Rabu.

Menurut penyiar awam Jepun NHK yang memetik pihak berkuasa tempatan, Pengawal Pantai Jepun menerima panggilan kecemasan mengenai nahas melibatkan pesawat pengangkut jenis Osprey itu kira-kira jam 2.47 petang waktu tempatan (0547 GMT), lapor Xinhua.

Nahas berlaku selepas pesawat itu berlepas dari pangkalan Iwakuni di Wilayah Yamaguchi menuju pangkalan Kadena di Okinawa

Kementerian pertahanan Jepun berkata, pesawat itu hilang daripada radar pada jam 2.40 petang waktu tempatan.

Jurucakap pengawal pantai Jepun, Kazuo Ogawa berkata, bot peronda dan pesawat dikerah ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, masih tiada maklumat lanjut mengenai nahas itu, termasuk keadaan penumpang.

Pegawai cuaca berkata nahas berlaku ketika cuaca cerah dan baik di Yakushima dengan kelajuan tiupan angin pada 2.30 petang waktu tempatan adalah 6.84 kilometer sejam.

Tiada amaran atau nasihat dikeluarkan ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

Osprey yang juga boleh terbang seperti helikopter mempunyai rekod kemalangan di Jepun dan di luar negara.

Ogos lepas, sebuah pesawat Osprey terhempas di utara Australia, mengorbankan tiga orang kru. Sebuah lagi Osprey terhempas di pulau selatan Okinawa, Jepun pada Disember 2016. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!