Akaun 3 KWSP strategi perkasa simpanan hari tua

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Akaun 3 atau akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara strategi menyeluruh bagi memperkasakan simpanan hari tua untuk semua ahli.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah mewujudkan akaun berkenaan merangkumi pengukuhan untuk Akaun 1, bukan hanya melibatkan akaun untuk kebenaran pengeluaran pada bila-bila masa.

"KWSP akan melihat bagaimana nak perkasakan lagi bagi mengelak simpanan asas tidak mencukupi untuk bersara pada hari tua.

"Jadi ini merupakan pakej menyeluruh, bukan hanya wujudkan Akaun 3 yang boleh dikeluarkan bila-bila masa. Ia juga merangkumi pemerkasaan Akaun 1 dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mencarum dalam KWSP," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang mahu tahu perincian mengenai perlaksanaan Akaun 3 KWSP termasuk nisbah pecahan caruman serta jumlah had pengeluaran dibenarkan.

Bagaimanapun Steven mengulangi kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa sebarang perincian lanjut mengenai Akaun 3 KWSP akan diumumkan tahun hadapan.

Sebelum itu, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak 35 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000.

Katanya, jumlah itu merekodkan peratusan tertinggi melibatkan 94,827 orang ahli dengan jumlah simpanan RM246.1 juta.

Artikel Berkaitan:

"Setakat 1 Januari 2023, terdapat 274,715 ahli KWSP berumur 54 tahun atau pun 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli KWSP (15.7 juta) dengan jumlah simpanan mereka bagi yang berumur 54 tahun itu sebanyak RM35.72 bilion.

"Ahli dengan jumlah simpanan melebihi RM1 juta mencatatkan peratus terendah dengan 2 peratus atau hanya 4,877 ahli dengan jumlah simpanan sebanyak RM7.9 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-Amanah) mengenai pecahan jumlah simpanan ahli KWSP yang berumur 54 tahun pada 1 Januari 2023.

Jelas beliau, sebanyak 8.0 peratus ahli KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM10,001 hingga RM20,000, diikuti dengan RM20,001 hingga RM50,000 (13 peratus), RM50,001 hingga RM100,000 (12 peratus) RM100,001 hingga RM200,000 (13 peratus), RM200,001 hingga RM500,000 (13 peratus) dan RM500,001 hingga RM1 juta (4.0 peratus).