Cikgu Ery meninggal dunia ketika kendali senaman

Allahyarham Mohd Khariri Ramli atau Cikgu Ery
Allahyarham Mohd Khariri Ramli atau Cikgu Ery
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang guru yang juga pempengaruh, Mohd Khariri Ramli atau lebih mesra dipanggil Cikgu Ery meninggal dunia semasa mengendalikan senaman di Tasik Tropikana Aman Rim Bayu pada pagi Rabu.

Berita kematian Cikgu Ery yang berusia 46 tahun itu dikongsikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, Adlin Amir Hamzah memaklumkan Allahyarham yang bertugas sebagai guru sesi petang sekolah itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Allahyarham meninggal dunia semasa kendalikan senaman bersama kumpulan di Tasik Tropikana Aman Rim Bayu.

"Paramedik ambulans telah sahkan kematian. Sedang menunggu kehadiran pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Keluarga arwah telah dihubungi, " menurut perkongsian di Facebook pada Rabu.

Adlin pada masa sama berharap tiada sebarang berita palsu disebarkan berkenaan kematian Cikgu Ery.

"Sila tunggu berita dari kami pihak sekolah dan rakan-rakan Cikgu Ery, " katanya.

No Image Caption

Cikgu Ery dahulunya dikenali sebagai Cikgu Erin banyak berkongsi mengenai kisah penghijrahannya daripada 'mak nyah' kembali kepada lelaki sejati.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kebanyakan pengguna media sosial yang mengenali Allahyarham merakamkan ucapan takziah selain ada juga yang terkejut dengan berita pemergian yang pergi secara mengejut.

"Allahuakbar.. Innalilahiwainahirojiun...terkejut dapat perkhabaran sahabat yang baik sentiasa berzumba, berjumpa di program-program MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) telah kembali ke rahmahtullah pagi ini.

"Semoga dipermudahkan urusan pengebumian dan ditempatkan di syurga...amin," ucapan takziah dititipkan seorang pengguna media sosial, Zureen Yusof.

Sementara itu, seorang kenalan Allahyarham dikenali Muhd Putra Shukri memaklumkan jenazah Cikgu Ery dijangka dikebumikan di Ulu Kuang petang Rabu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Modahish itu.

Hakimah berkata, Cikgu Ery merupakan ikon komuniti hijrah yang banyak berjasa membantu program-program kesedaran dan bimbingan anjuran Jakim dan Yayasan Ihtimam Malaysia.

"Jakim ingin mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Cikgu Ery dan warga Pertubuhan Kebajikan Darul Modahish.

"Kita semua menjadi saksi atas khidmat bakti beliau kepada umat. Semoga pemergian beliau dirahmati dan mendapat keredaan ALLAH SWT," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!