Padah curi RM100 duit tabung surau

Perbuatan suspek dirakam CCTV surau berkenaan. - Foto PDRM
Perbuatan suspek dirakam CCTV surau berkenaan. - Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencuri duit tabung surau kira-kira RM100 di Taman Sri Pulai 3 di sini dalam kejadian pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Taman Bayu Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson pada Selasa jam 8.30 malam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

"Penahanan suspek itu susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pesara lelaki berusia 66 tahun berhubung kejadian pada jam 3 petang itu.

"Perbuatan suspek berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru dan peralatan untuk pecah tabung.

"Hasil semakan terhadap suspek juga mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan suspek kini direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!