Lelaki dibelasah disyaki jalin hubungan dengan isteri orang

Enam individu direman bagi membantu siasatan kerana merusuh di Sungai Petani.
Enam individu direman bagi membantu siasatan kerana merusuh di Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki cedera dipukul sekumpulan lelaki kerana disyaki menjalinkan hubungan dengan isteri orang di Padang Temusu di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki berusia 42 tahun itu dipukul lima lelaki dalam kejadian di depan sebuah hotel kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurutnya, polis menerima panggilan berhubung kejadian daripada seorang saksi memaklumkan ternampak sekumpulan lelaki memukul lelaki berkenaan.

"Susulan itu, polis menahan enam lelaki berusia antara 16 hingga 42 tahun termasuk mangsa untuk membantu siasatan," katanya.

Zaidy berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan individu itu dikatakan bertindak demikian kerana lelaki terbabit disyaki menjalinkan hubungan dengan isteri kepada salah seorang suspek berusia 33 tahun.

Menurutnya, mangsa yang dipukul mengalami kecederaan luka ringan di bahagian kepala, muka dan paha kiri.

"Tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian ini. Bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati mangsa serta dua lagi suspek masing-masing berusia 16 dan 33 tahun positif dadah.

"Kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kecuali remaja berusia 16 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, salah seorang lelaki yang ditahan mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua enam lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Lima daripadanya direman empat hari sehingga 1 Disember 2023, manakala remaja berusia 16 tahun direman sehari pada Selasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.