ACL 2023: Laluan JDT berliku

Tonggak JDT, Arif Aiman Hanapi (depan) cuba melepasi kawalan pemain Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Todokori, pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers
Tonggak JDT, Arif Aiman Hanapi (depan) cuba melepasi kawalan pemain Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Todokori, pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 kian sukar setelah tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki, Jepun sebentar tadi.

Kekalahan itu mengekalkan kedudukan skuad Harimau Selatan di tangga ketiga Kumpulan I dengan enam mata sekali gus gagal menebus kecewa tumpas 0-1 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 19 September lepas.

Kawasaki yang dibimbing Toru Oniki pula gah menerajui kumpulan selepas melakar rekod bersih lima aksi untuk mengutip 15 mata sekali gus mara ke pusingan kalah mati.

Kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pula menokok sembilan mata setelah mengalahkan BG Pathum United, wakil Thailand 3-1 di laman lawan untuk menghuni tangga kedua.

Dalam aksi tersebut, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Akihiro Ienaga pada minit kelapan.

Selepas jaringan itu penguasaan bola menjadi milik pasukan tuan rumah yang terus merangka serangan, namun skuad Harimau Selatan ampuh bertahan.

JDT yang dibimbing Esteban Solari cuba menyusun gerak memasuki kubu Kawasaki, namun berjaya dipatahkan dengan baik oleh benteng pertahanan lawan.

Skuad Harimau Selatan berpeluang menyamakan kedudukan, namun sepakan kencang Bergson da Silva dinafikan oleh penjaga gol Kawasaki, Jung Sung-Ryong.

---

Artikel Berkaitan:

Aksi pemain pertahanan JDT, Feroz Baharudin (dua dari kiri) ketika menentang Kawasaki dalam perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara di Stadium Todokori pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers
Aksi pemain pertahanan JDT, Feroz Baharudin (dua dari kiri) ketika menentang Kawasaki dalam perlawanan Kumpulan I Liga Juara-Juara di Stadium Todokori pada Selasa. - Foto Johor Southern Tigers

Memasuki babak kedua, belum pun sempat JDT bernafas Kawasaki meledak gol kedua menerusi Leandro Damiao yang menyepak kencang mengenai tiang sebelum bola bergolek ke dalam jaring pada minit ke-50.

Bergson kemudian berpeluang mengurangkan defisit jaringan, namun bola sepakannya sekadar melintasi gawang Kawasaki.

Pasukan tuan rumah menambah derita JDT apabila Marcinho menyumbat gol ketiga pada minit ke-60 menerusi tandukan kencang menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang.

Berselang sembilan minit gawang JDT sekali lagi bergegar menerusi sepakan Yu Kobayashi untuk meletakkan Kawasaki 4-0 di depan.

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh JDT selepas jaringan itu.

Sebaliknya Kawasaki bertambah ghairah menambah gol, kali ini menerusi Miki Yamane menuju dua minit ke penghujung perlawanan.

JDT masih berpeluang untuk menyaingi Ulsan, namun perlu menang dengan jaringan yang besar ke atas BG Pathum United di laman sendiri pada 12 Disember.

Bagaimanapun JDT perlu menagih simpati Kawasaki untuk mengalahkan Ulsan pada aksi terakhir di laman lawan pada hari yang sama.

Ulsan ketika ini sudah mengumpul 10 jaringan dan enam bolos, manakala JDT mengutip tujuh gol serta 12 bolos.

Edisi lepas skuad Harimau Selatan mara ke saingan kalah mati, namun langkah mereka untuk ke suku akhir disekat Urawa Red Diamonds setelah tewas 0-5 di Stadium Saitama pada Ogos tahun lalu.