Arsenal mara bergaya ke pusingan kalah mati

Pemain Arsenal meraikan jaringan pertama ketika menentang Lens. - Foto EPA
Pemain Arsenal meraikan jaringan pertama ketika menentang Lens. - Foto EPA
A
A
A

ARSENAL mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan B selepas membelasah Lens 6-0 pada Khamis.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu hanya memerlukan satu mata untuk memastikan mara ke peringkat kalah mati, tetapi mereka tampil dengan permainan agresif untuk menumbangkan pasukan dari Perancis itu di Stadium Emirates.

Kai Havertz, Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli meledakkan satu gol dalam 27 minit pertama.

Martin Odegaard menambah gol kelima sejurus sebelum rehat dan Jorginho menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dengan sepakan penalti lewat untuk kemenangan bergaya mereka musim ini.

Dengan berbaki satu perlawanan, The Gunners sudah pasti akan menamatkan saingan di tempat pertama apabila mereka berada empat mata di depan PSV Eindhoven.

PSV berada pada kedua kumpulan hasil kekalahan Lens itu selain mereka juga mencatatkan kemenangan ke atas Sevilla dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan pada Khamis.

"Saya langsung tidak mengimpikan perkara ini. Kami mempunyai peluang untuk layak dan mengungguli kumpulan. Kami melakukannya dengan cara yang cantik.

"Kami mempamerkan banyak sikap agresif. Sungguh bagus kami dapat menang dengan cara ini. Kami begitu bagus di laman sendiri di Eropah, menjaringkan banyak gol dan tidak dibolosi.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya kami boleh melakukannya menentang pasukan kuat. Sekarang kami tunggu untuk melihat siapa yang akan kami hadapi seterusnya," kata Arteta.