Johor eskport nangka ke China tahun depan

Zahari
Zahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor akan mengeksport nangka tempatan ke negara China bermula awal tahun depan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, pengusaha tempatan kini berpeluang meneroka pasaran eksport ke negara tembok besar itu.

Menurut beliau, ia sejajar dengan pelaksanaan protokol baharu berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin telah dimeterai kerajaan Malaysia dan China pada 1 April lalu.

"Terdapat dua syarikat pengeluar nangka iaitu Kawan Pertanian Sdn Bhd dan CSC Sdn Bhd telah melepasi protokol dan kriteria berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin untuk eksport nangka ke negara tersebut.

“Dengan kerjasama dua pengusaha tempatan ini, kita akan melaksanakan penghantaran percubaan pertama eksport nangka ke China melibatkan 500 hingga 600 metrik tan yang dihantar menggunakan 100 kontena setahun.

"Nangka berpotensi untuk diterima sama seperti durian dan nanas memandangkan China adalah pasaran yang cukup besar," katanya pada sidang akhbar di Kota Iskandar, di sini pada Selasa.

Jelas Zahari, terdapat seramai 277 pengusaha nangka di Johor melibatkan tanah seluas 564 hektar dan pengeluaran 7,600 metrik tan.

"Sebelum ini, Johor hanya mengeksport nangka ke Singapura, namun ia merupakan satu pasaran yang terhad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, negara telah mengeksport nanas ke negara luar dengan nilai RM 1.2 billion pada tahun 2022.

Johor merupakan pengeluar utama beberapa produk makanan utama negara terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pada tahun 2022, Johor merekodkan keluasan bertanam buah-buahan terbesar seluas 50,217 hektar dengan pengeluaran terbesar iaitu sebanyak 772,317.4 tan metrik atau 34.5 peratus daripada pengeluaran buah-buahan dalam negara.

Bagi tanaman sayur-sayuran, Johor merekodkan keluasan bertanam seluas 17,188.3 hektar dengan pengeluaran kedua terbesar (selepas Pahang) iaitu sebanyak 245,330.4 metrik tan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!