'Jika nak popular, Anwar boleh teruskan subsidi pukal' - Armizan

Armizan menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) hari ini. - Foto Bernama
Armizan menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Perdana Menteri mempunyai opsyen untuk meneruskan mekanisme subsidi pukal jika mahu meraih populariti yang singkat.

Katanya, subsidi pukal bermaksud mengekalkan status quo, meneruskan mekanisme penyaluran subsidi untuk semua pihak termasuk golongan kaya dan bukan warganegara.

"Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya ingin melihat kepada populariti singkat mempertahankan kuasa kerajaan hari ini ataupun sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), pilihan mudah adalah kekalkan sistem sedia ada.

"Teruskan cara lama, jangan ambil risiko, jangan lakukan sebarang perubahan. Kerajaan masih mampu, bukan mampu kerana cukup duit, tapi mampu berhutang.

"Itu pilihan mudah untuk mengelakkan sebarang isu, kerana sebarang perubahan pemberian subsidi akan membuka ruang pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan sekali gus menjadi 'bola tanggung' mengatakan kerajaan kononnya zalim menarik subsidi rakyat.

"Rakyat akan mudah terpengaruh kerana perkara ini amat sensitif dan terkait dengan isu kos sara hidup," katanya ketika ditemui pada majlis Simposium Kos Sara Hidup 2023 di sini pada Selasa.

Namun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan, atas sebab itu, pelaksanaan agenda penyasaran semula subsidi adalah sesuatu yang amat mencabar dan membawa risiko kepada populariti kerajaan dan para pemimpinnya.

Tambahnya, lantaran itu, pelaksanaan agenda penyasaran semula subsidi adalah sesuatu yang amat mencabar dan membawa risiko kepada populariti kerajaan dan para pemimpinnya.

Artikel Berkaitan:

"Itu juga sebab kenapa perubahan tidak pernah berlaku sejak sekian lama.

"Sungguhpun kita sudah mendengar suara supaya pelaksanaan subsidi perlu diteliti semula sejak beberapa dekad lalu, sejak beberapa pentadbiran parti yang menguasai kerajaan, semua memilih status quo.

Armizan (tengah) merasmikan Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Armizan (tengah) merasmikan Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

"Impaknya isu ini bukan sahaja berlarutan, malah sistem sedia ada sejak dari dahulu tidak berupaya menyelesaikan isu pokok berkaitan sara hidup secara jangka panjang.

"Kos sara hidup sebenarnya bukan hanya soal harga, tetapi pendapatan boleh guna rakyat.

"Bukan hanya soal tambah peruntukan infrastruktur rakyat, tetapi perlu hadir bersama soal usaha melonjakkan hasil dan pendapatan kerajaan untuk memenuhi tuntutan perbelanjaan itu.

"Hakikatnya, mekanisme subsidi pukal bukanlah ubat yang menyembuhkan, tetapi sekadar pil tahan sakit 'pain killer' yang akhirnya akan membawa kesan jangka panjang yang lebih memudaratkan," katanya.

Sehubungan itu, tegas Armizan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab untuk masa depan rakyat dan negara, reformasi sistem subsidi perlu dilaksanakan secara berperingkat sekarang.

"Namun begitu, penyasaran semula subsidi perlu hadir bersama jaminan perlindungan dan bantuan sosial yang lebih holistik kepada rakyat yang memerlukan, sama ada golongan dalam kategori pendapatan rendah mahupun menengah.

"Bantuan tunai secara bersasar ini bukan hanya melihat kepada jumlah pendapatan, malah jumlah tanggungan isi rumah," katanya.

Sebagai rekod, tanggungan subsidi pukal melambung tinggi daripada RM30.5 bilion pada tahun 2018 kepada RM37.3 bilion tahun 2021 sebelum mencapai angka RM91.9 bilion pada tahun 2022 dan terkini bagi tahun 2023, unjuran subsidi dijangka mencecah RM80.9 bilion melebihi peruntukan asal RM64 bilion.