[VIDEO] Remaja 13 tahun acu pisau pada pemandu e-hailing direman

A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun direman bagi membantu siasatan berhubung cubaan merompak seorang pemandu e-hailing di Taman Keladi di sini pada Isnin.

Perintah reman yang dikeluarkan di Mahkamah Majistret Sungai Petani oleh Majistret Kalaiarasi Muniandy dibenarkan selama satu hari pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang pemandu e-hailing warga emas berdepan saat cemas diacu sebilah pisau oleh seorang penumpang lelaki dalam kejadian di Taman Keladi pada Isnin.

Remaja lelaki berusia 13 tahun direman selama satu hari bagi membantu siasatan berhubung cubaan merompak seorang pemandu e-hailing.
Remaja lelaki berusia 13 tahun direman selama satu hari bagi membantu siasatan berhubung cubaan merompak seorang pemandu e-hailing.

Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cubaannya menggigit tangan remaja dan merampas pisau tersebut menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu turut tular di media sosial memaparkan tindakan remaja tersebut mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar video tular menunjukkan remaja lelaki menaiki e-hailing sebelum dipercayai mengacukan pisau kepada pemandu dalam kejadian di Taman Keladi Sungai Petani pada Isnin.
Tangkap layar video tular menunjukkan remaja lelaki menaiki e-hailing sebelum dipercayai mengacukan pisau kepada pemandu dalam kejadian di Taman Keladi Sungai Petani pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.

Bagaimanapun, semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, remaja itu telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan dilihat mahu merampas wang dari poket.

Jelasnya, pemandu kemudian dilihat berjaya merampas pisau serta menggigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan suspek berlari keluar dari kenderaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zaidy, laporan polis dibuat sekitar jam 8 malam dan remaja berkenaan telah ditahan dua jam kemudian.

Katanya, sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25 sentimeter yang dibawa remaja itu telah dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.