Jualan murah tiada had mulai 2 Januari

Saifuddin bergambar bersama murid sekolah yang menerima bantuan sekolah di Program Kembali Ke Sekolah bersama Tesco di Tesco Extra tadi.
Saifuddin bergambar bersama murid sekolah yang menerima bantuan sekolah di Program Kembali Ke Sekolah bersama Tesco di Tesco Extra tadi.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Peniaga dibenarkan mengadakan jualan murah tanpa had selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan pindaan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) (Pindaan) 2019.

Pindaan peraturan itu akan mula berkuatkuasa pada 2 Januari ini, berbanding ketika ini, peniaga hanya dibenarkan mengadakan jualan murah hanya empat kali setahun.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peraturan berkaitan kawalan tempoh masa jualan murah itu akan menjadi lebih terbuka tanpa mengenakan had bilangan dan kawalan tempoh masa.

"Matlamat pindaan yang dilaksanakan tahun ini adalah bertujuan menambah baik peruntukan peraturan bagi mengimbangi keperluan industri dalam sektor peruncitan dan aspek perlindungan hak pengguna.

"Peraturan pindaan itu juga akan membenarkan peniaga hanya menghantar notis jualan murah kepada KPDNHEP dalam tempoh satu hari sebelum tarikh jualan, berbanding tempoh 14 hari sebelum ini. Bagi jualan murah yang diadakan kurang daripada tempoh tiga hari, tidak perlu notis tetapi bagi tempoh jualan lebih tiga hari, perlu beri notis sekurang-kurangnya sehari sebelum tarikh jualan,” katanya.

Menurutnya, peraturan itu dipinda pada 29 November lalu dengan melalui lima kali pindaan sejak diperkenalkan pada 1997.

Terdahulu, Saifuddin hadir ke Program Kembali Ke Sekolah bersama Tesco di Tesco Extra di sini tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Abdul Ghafar.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah relevan sebelum ini.

"Pada era teknologi dan model perniagaan yang semakin berkembang, konsep seperti itu dilihat menyekat peniaga untuk menganjurkan jualan murah mengikut kreativiti selain strategi pasaran masing-masing.

"Selain itu, ia dianggap sebagai satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini. Bagaimanapun, kementerian tidak mengabaikan aspek perlindungan hak pengguna.

"Kementerian juga mewujudkan peruntukan kesalahan kepada peniaga yang membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan jualan murah. Peruntukan itu akan menjamin perniagaan jualan murah diadakan dengan lebih beretika,” katanya.