Pembinaan jambatan darat beri manfaat kepada Malaysia - Kerajaan Thailand

Anwar (kiri) bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dalam perbincangan tertutup semasa hadir Lawatan Kerja Ke Sadao, Thailand pada Isnin.
Anwar (kiri) bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dalam perbincangan tertutup semasa hadir Lawatan Kerja Ke Sadao, Thailand pada Isnin.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kerajaan Thailand memaklumkan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dirancang dibina mereka akan memberikan manfaat kepada Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan kemudahan baharu di kawasan selatan Thailand masih berada di peringkat awal.

Menurutnya, perkara itu dijelaskan oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dalam perbincangan tertutup semasa hadir Lawatan Kerja Ke Sadao, Thailand pada Isnin.

"Jambatan darat itu masih di peringkat awal, dalam perbincangan tadi, Perdana Menteri Thailand sebut akan libatkan Malaysia dan ia akan turut beri manfaat kepada Malaysia terutama Utara Semenanjung.

“Bagi kita ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam di sini.

Thailand sebelum ini mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat yang memintas laluan perkapalan di Selat Melaka.

Hal itu bertujuan mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka yang sebelum ini adalah sebuah laluan laut utama yang sibuk.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Artikel Berkaitan: