Dewan Rakyat: Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dibaca kali pertama

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 antara lain bertujuan memberi kuasa tambahan kepada suruhanjaya itu dalam menguruskan perkara hak asasi manusia berkaitan kanak-kanak dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rang undang-undang itu juga memperuntukkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dalam kalangan anggota Suruhanjaya dengan fungsi untuk menguruskan perkara hak asasi manusia yang berhubungan dengan kanak-kanak.

Selain itu, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023 yang bertujuan menambah baik peruntukan Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) bagi memberikan bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dengan negara lain.