Jauhi prasangka, muhasabah jiwa dengan enam tip ini

SETIAP daripada kita ialah hamba ALLAH yang sama sahaja di sisi-NYA, maka tidak wajar untuk kita menghukum apalagi berprasangka buruk terhadap orang lain. -Gambar hiasan
SETIAP daripada kita ialah hamba ALLAH yang sama sahaja di sisi-NYA, maka tidak wajar untuk kita menghukum apalagi berprasangka buruk terhadap orang lain. -Gambar hiasan
A
A
A

APABILA melihat seseorang, usah mudah menyimpan prasangka. Apatah lagi berburuk sangka terhadap mereka.

Barangkali individu yang disangkakan tidak baik atau tidak betul itu lebih baik dan mulia daripada diri kita.

Mengertilah, setiap daripada kita ialah hamba ALLAH yang sama sahaja di sisi-NYA. Tidak wajar untuk kita menghukum apalagi berprasangka buruk terhadap orang lain.

Sedangkan kita tidak kenal orang tersebut dan hati budi mereka. Tidak adil sekiranya kita ‘mengadili’ mereka.

Malah, tiada sesiapa yang mengetahui bagaimana pengakhiran hidup masing-masing kelak. Hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI.

Peringatan itu turut dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi dalam laman sosial Facebook miliknya.

USTAZ HANAFI
USTAZ HANAFI

Artikel Berkaitan:

Benar, kadangkala kita mudah bersangka-sangka apabila melihat orang lain, ungkapnya.

“Tengok orang susah tepi jalan, kita mula pandang sinis. Macam-macam sangka buruk timbul dalam fikiran. Boleh jadi juga orang yang kita nampak selekeh tu lebih kaya daripada kita.

“Tengok orang berniaga tepi jalan sepanjang hari, kita fikir mereka ini mesti tinggalkan solat,” ujarnya sambil mengingatkan agar kita tidak berburuk sangka sebegitu.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar kita saling mendoakan.

Beliau kemudian menceritakan kisah seorang sahabat, Saad bin Abi Waqash yang dijanjikan sebagai calon ahli syurga.

Tatkala ditanya tentang amalan yang membawanya ke jannah, Saad memberitahu: “Aku tidaklah sehebat manusia lain dalam urusan ibadah mahupun ketaatan. Namun, aku sama sekali tidak mempunyai prasangka buruk kepada sesiapa pun termasuk tidak berkata buruk tentang sesiapa pun.”

Sahabat yang bertanya tadi pun membalas: “Sungguh! Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh mana-mana manusia.”

JAGA tutur kata dan perlakuan agar kita tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain. -Gambar hiasan
JAGA tutur kata dan perlakuan agar kita tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain. -Gambar hiasan

Melihat kisah itu, Ustaz Hanafi menjelaskan, begitu besarnya manfaat orang yang tidak bersangka buruk kepada yang lain.

Beliau turut berkongsikan enam tip agar diri terhindar daripada sikap sedemikian menurut Sheikh Abdul Kadir Jailani.

Berikut perinciannya:

1. Jika bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.

Ucapkan dalam hati: "Mungkin kedudukannya di sisi ALLAH jauh lebih baik dan lebih tinggi daripadaku."

2. Andai berjumpa dengan anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu: "Anak ini belum bermaksiat kepada ALLAH, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-NYA. Tentu anak ini jauh lebih baik daripadaku."

3. Sekiranya melihat orang tua, maka ucapkanlah dalam hatimu: "Dia telah beribadah kepada ALLAH jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku."

4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu: "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik daripadaku.”

ANDAI dipertemukan dengan seseorang, anggaplah diri mereka lebih baik daripada kita. -Gambar hiasan
ANDAI dipertemukan dengan seseorang, anggaplah diri mereka lebih baik daripada kita. -Gambar hiasan

5. Sekiranya bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah dalam hatimu: "Orang ini bermaksiat kepada ALLAH kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepada-NYA padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku."

6. Andai berjumpa dengan orang kafir, maka katakanlah dalam hatimu: "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin pada akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi pada akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.”

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, Ustaz Hanafi menjelaskan, manusia mudah berburuk sangka kerana berasa dirinya lebih baik dan hebat.

“Berhati-hatilah dengan rasa ‘diri lebih baik’ ini kerana perasaan inilah yang menyebabkan iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS atas perintah ALLAH SWT.

“Sama-samalah kita ambil iktibar dan pelajaran. Baik atau buruk diri kita atau orang lain, cukuplah biar ALLAH sahaja yang beri penilaian,” titipnya.

USAH berburuk sangka terhadap orang lain dan membuat mereka bersedih, sebaliknya disarankan agar kita saling mendoakan. -Gambar hiasan
USAH berburuk sangka terhadap orang lain dan membuat mereka bersedih, sebaliknya disarankan agar kita saling mendoakan. -Gambar hiasan