Bekalan bawang cukup sehingga Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bawang di negara ini mencukupi sehingga sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung Januari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun India melarang eksport bawang, bekalan bawang termasuk bawang merah, putih dan kecil masih mencukupi.

Menurutnya, selain India, Malaysia juga mengimport bawang dari Belanda, China dan Pakistan.

"Malaysia mengimport bawang dari empat negara yang mana trend sekarang, India menghentikan eksport bawang kerana beberapa faktor. Walaupun India adalah pengeksport terbesar kepada Malaysia, kita masih ada bawang dari Belanda, Pakistan dan China.

"Oleh demikian, bekalan bawang dalam negara akan mencukupi sehingga Januari tahun depan kerana kita masih ada tiga negara ini. Itu yang menjamin bekalan bawang negara mencukupi," katanya pada sidang media di Tesco Extra selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Bersama Tesco di sini tadi.

Mengulas mengenai harga bawang yang melonjak tinggi, Saifuddin berkata, perkara itu berlaku disebabkan peningkatan harga yang berlaku ketika barang runcit itu memasuki negara.

"Harga bawang dari India ini berlaku bukan di peringkat runcit, sebaliknya ia meningkat sejak ia memasuki negara lagi. Disebabkan perkara itu, berlaku rantaian harga sehingga menyebabkan harga runcit turut naik.

"Mungkin ada yang pelik, bekalan mencukupi tetapi harga naik. Maka inilah faktor harga bawang memang tinggi sejak ia dieksport," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin (tengah) bersama penerima di Program Kembali Ke Sekolah Bersama Tesco tadi.
Saifuddin (tengah) bersama penerima di Program Kembali Ke Sekolah Bersama Tesco tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti laporan sebuah akhbar mengenai penemuan bawang dari Malaysia yang dijual di negara jiran berikutan permintaan dan harga tinggi.

"Saya dimaklumkan oleh pegawai mengenai perkara itu dan kita akan meningkatkan aspek kawalan di sempadan untuk melihat adakah ia begitu berleluasa sehingga ia menjadi faktor kepada peningkatan harga.

"Kita juga akan teliti laporan itu untuk mengetahui adakah ia sudah di tahap mencemaskan," katanya.

Sebelum ini, pengguna di beberapa negeri merungut apabila harga bawang merah India yang biasanya dijual pada RM4 sekilogram kini mencecah RM16 sekilogram.