'Ibarat mimpi jadi nyata'

Bagnaia mengungguli perlumbaan di Valencia untuk muncul juara dunia MotoGP pada Ahad. Foto AFP
Bagnaia mengungguli perlumbaan di Valencia untuk muncul juara dunia MotoGP pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

PELUMBA Itali, Francesco Bagnaia menyifatkan kejayaannya mengekalkan kejuaraan dunia MotoGP sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Kejayaan tersebut diraih selepas pelumba Ducati berusia 26 tahun itu merangkul kemenangan pada perlumbaan terakhir musim ini di Valencia ketika pencabar terdekat, Jorge Martin terlibat kemalangan pada awal perlumbaan malam Ahad.

“Saya sentiasa bermimpi untuk merangkul kejuaraan sambil memenangi perlumbaan. Saya sangat gembira,” ujar Bagnaia.

Dalam saingan itu, Bagnaia mendahului tanpa menyedari Martin bersama jenteranya, Ducati-Pramac terlibat kemalangan dengan pelumba Honda, Marc Marquez yang menyebabkan mereka terkeluar daripada perlumbaan.

Kemenangan Bagnaia itu bagaimanapun bukan diraih dengan mudah kerana pernah berdepan kemalangan yang menyebabkan dia mengalami kecederaan kaki ketika saingan MotoGP di Catalunya awal September lalu.

“Ia adalah musim yang hebat walaupun Barcelona dan kecederaan kaki menjadikannya sangat sukar.

“Terima kasih kepada pasukan yang melakukan tugas luar biasa musim ini,” ujar Bagnaia.

Artikel Berkaitan: