Sime Darby perkukuh benteng berdepan MUFT

Barisan pemain dan kejurulatihan Sime Darby yang menggalas cabaran Piala Pra U 2023 di Gambang, Kuantan, Pahang. - Foto SLP Studio
Barisan pemain dan kejurulatihan Sime Darby yang menggalas cabaran Piala Pra U 2023 di Gambang, Kuantan, Pahang. - Foto SLP Studio
A
A
A

AKADEMI Bolasepak Sime Darby (ABSD) akan memberikan perhatian terhadap bahagian benteng apabila berdepan Malaysia University Football Team (MUFT) perlawanan terakhir kumpulan B Piala Pra U di padang Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari pada Isnin.

Pengendali Akademi Bolasepak Sime Darby, Mohd Parus Kahar berkata, MUFT pasukan pilihan memiliki jentera serangan yang cukup efektif apabila telah meledak tujuh gol dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Kami perlu memperkuatkan barisan pertahanan memandangkan pasukan MUFT telah menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Kami sedar akan berdepan pasukan yang lebih baik dan berpengalaman, namun pemain-pemain saya tetap mahu memberikan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan menyekat rangkaian serangan MUFT.

"Pada masa sama kami akan berusaha meraih keputusan positif dalam perlawanan ini," katanya.

Anak buah Mohd Parus menyingkap kempen edisi 2023 dengan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) Bawah 15 (B-15) Tahun. 1-1 pada Sabtu.

Namun momentum itu gagal diteruskan apabila tewas 2-4 kepada Mutiara Soccer Allstars (MSA) pada Ahad.

Mengulas perlawanan berdepan MSA, Mohd Parus berkata, secara keseluruhannya terdapat peningkatan prestasi pemain berbanding perlawanan menentang JDT B-15.

Artikel Berkaitan:

"Kami dapat mengawal perlawanan dengan baik cuma kesilapan kecil di bahagian pertahanan pada 10 minit pertama dimanfaatkan pasukan MSA yang mendahului dua gol pada separuh masa pertama.

"Kami berjaya merapatkan jurang pada awal separuh masa kedua dan menguasai permainan tetapi sekali lagi kealpaan barisan pertahanan menyebabkan kami dihukum buat kali ketiga dan keempat dalam waktu yang singkat.

"Semangat juang pemain walaupun ketinggalan harus dipuji apabila berjaya mendapat satu jaringan yang menaikkan semula semangat pasukan mengasak kubu pertahanan MSA dengan beberapa peluang terhidang di depan pintu gol, namun gagal dimanfaatkan jentera serangan Sime Darby. Saya amat berpuas hati dengan prestasi pasukan walaupun tewas dengan MSA," katanya.