X

Kindly register in order to view this article
!

The Fighters enggan mengalah awal

Nidzam mencari ramuan terbaik menjelang kempen Liga-M musim depan selepas kehilangan beberapa tonggak utama. - Foto Felda United
A
A

SESUAI dengan gelaran The Fighters, Felda United tekad memberikan cabaran sengit kepada barisan pencabar mereka sekalipun kehilangan beberapa tonggak termasuk kapten, Hadin Azman.

Pengendali Felda United, Nidzam Jamil berkata, beliau tidak mahu menjadikan alasan ketiadaan beberapa pemain utama merencatkan persiapan The Fighters bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagi Nidzam, beliau harus segera mencari ramuan terbaik selepas ketiadaan Hadin, pemain sayap lincah, S Chanturu serta penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali.

“Saya tidak suka menggunakan perkataan mengganggu persiapan pasukan, sebaliknya saya selaku jurulatih yang diamanahkan perlu mencari penyelesaian selepas pemergian pemain-pemain ini.

“Namun, kami cuba untuk kekalkan pemain sedia ada selain membawa masuk tiga pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan. Kita juga akan mendapatkan khidmat pemain import di posisi 10 kerana Felda United telah kehilangan ramai pemain di bahagian serangan.

“Pada masa sama, kami juga telah membawa masuk beberapa pemain tempatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak utama musim lalu seperti Fadhil Idris daripada PKNP dan beberapa pemain lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Felda United terselamat daripada jatuh ke Liga Premier 2020 selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10 Liga Super musim lalu apabila memungut 19 mata daripada 22 perlawanan.

Nidzam berkata, walaupun pengurusan Felda United telah menetapkan pengawalan peruntukan bagi pembelian pemain baharu, beliau yakin pasukannya mampu memperbaiki kedudukan berbanding musim lalu.

“Kami tidak mahu belanja berlebihan, sebaliknya mendapatkan pemain berkualiti pada harga yang baik. Kita tidak beli key player tapi kita perlu create key player dan itu adalah tugas saya bersama barisan jurulatih.

“Kita mahu wujudkan pasukan yang dananya kecil tetapi mampu mencabar pasukan-pasukan berbelanja besar. Walaupun sukar tetapi dengan pelan yang bagus, insya-ALLAH kita mampu,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!