Parti Rafizi menang berapa kerusi, soal Annuar

Annuar ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Kemaman di Markas UDM Bandar Baru, Bukit Mentok pada malam Sabtu.
Annuar ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Kemaman di Markas UDM Bandar Baru, Bukit Mentok pada malam Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - "Parti dia kata lemah itu menang berapa kerusi semasa pilihan raya? Siapa lebih kuat Pas atau parti Rafizi Ramli?"

Demikian soal Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli selepas mengeluarkan kenyataan parti Islam berkenaan tidak mempunyai kekuatan organisasi dan kelebihan bakat.

"Dia (Rafizi) kata lemah tu menang berapa kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas? Dia kata Pas itu parti lemah tapi masa pilihan raya Pas boleh menang 43 kerusi.

"Parti dia yang kononnya kuat itu boleh menang berapa kerusi? Parti dia menang hanya 31 kerusi.

"Parti Pas yang dia hina itulah menang 43 kerusi. Siapa lebih kuat antara Pas dengan parti Rafizi? Jawapannya ialah Pas lebih kuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Kemaman di Markas UDM Bandar Baru, Bukit Mentok dekat sini pada malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Pas menerima sokongan daripada orang Melayu Islam sedangkan PKR sebaliknya.

"Pas menang dokongan oleh orang Melayu Islam. Parti Rafizi siapa yang sokong?

Artikel Berkaitan:

"Parti PKR yang sokong Melayu Islam ke? jawapannya tidak... PKR hanya menang di tempat yang tidak ada ramai Melayu Islam," dakwanya.

Sementara itu, Annuar turut menempelak kenyataan Rafizi yang mendakwa Pas tidak mempunyai kelebihan bakat.

"Cuba lihat ahli Parlimen Pas. Berapa ramai yang mempunyai doktor falsafah (PhD), dari latar belakang sebagai doktor dan jurutera bukannya tok penghulu berpencen dalam Pas!

"Menteri Besar Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar) seorang jururera dalam bidang aeroangkasa. Tak ada satu habuk pun ada yang menjadi jurutera aeroangkasa dalam PKR mahupun UMNO.

"Pas ada seseorang yang merupakan jurutera aeorangkasa menjadi Menteri Besar. Begitu juga ramai dalam Pas ada kelulusan agama.

"Kalau kata Pas tak ada kelebihan bakat maka orang yang bercakap itu seorang yang pekak dan buta," ujarnya.