Presiden Palestin adakan perbincangan dengan Setiausaha Luar UK

Mahmoud Abbas - Foto AP
Mahmoud Abbas - Foto AP
A
A
A

RAMALLAH - Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar Britain, David Cameron di ibu pejabat presiden di Ramallah pada Jumaat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Semasa pertemuan itu, Abbas memberi taklimat mengenai perkembangan terkini di wilayah Palestin yang diduduki dengan memberi penekanan khusus kepada situasi di Gaza.

Beliau berkata, terdapat keperluan mendesak untuk menghentikan segera serangan dan pencerobohan Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Abbas turut mengutuk tindakan genosid Israel sambil menyeru agar bantuan kemanusiaan segera dihantar ke Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan membebaskan dana cukai Palestin yang disekat oleh Israel.

Pemimpin Palestin itu turut mengulangi pendiriannya yang membantah sebarang cubaan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza atau Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Abbas menolak sebarang penerimaan atau toleransi terhadap rancangan Israel untuk memisahkan Gaza dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis atau untuk menduduki semula dan menggabungkan mana-mana bahagian.

Keselamatan dan keamanan hanya boleh dicapai melalui penyelesaian politik berdasarkan rangka kerja dua negara dan atas dasar undang-undang antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab, katanya.

Artikel Berkaitan:

Abbas menggesa Setiausaha Luar Britain mengiktiraf Negara Palestin dan membantu mendapatkan keahlian penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, Riyad al-Malki turut menyeru Cameron supaya melaksanakan tekanan diplomatik dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin. - Bernama