PLKN: Seimbangkan modul ketenteraan, literasi tatanegara

ABIM dan MBM meminta PLKN dilaksanakan dengan menyeimbangkan antara modul latihan ketenteraan dan literasi tatanegara.(Gambar hiasan)
ABIM dan MBM meminta PLKN dilaksanakan dengan menyeimbangkan antara modul latihan ketenteraan dan literasi tatanegara.(Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan dengan menyeimbangkan antara modul latihan ketenteraan dan literasi tatanegara.

Naib Presiden ABIM merangkap Ahli Majlis Tertinggi MBM, Zairudin Hashim berkata, keseimbangan itu bagi memperkasakan jati diri generasi muda di samping memupuk patriotisme tinggi dalam jiwa mereka.

"ABIM dan MBM menyokong sepenuhnya pelaksanaan PLKN dengan harapan ia juga menerapkan nilai kemanusiaan supaya peserta dapat lebih memahami soal hak asasi manusia dan penderitaan mereka yang dizalimi seperti di Palestin.

"ABIM percaya bahawa kemelut yang berlaku di negara kita ketika ini adalah kerana kita kurang berkomunikasi dan berinteraksi antara kaum dan agama yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 9 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksankan semula tetapi menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.

Katanya, antara pebezaannya, peserta PLKN akan menjalani latihan di 13 kem tentera wataniah untuk latihan 45 hari.

Zairudin menjelaskan, soal interaksi antara kaum atau perpaduan telah disentuh Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika mengupas topik Kosmopolitanisme Islam dan Pembinaan Bangsa Malaysia dalam ucapan dasarnya menerusi satu program pada 2020.

Menurutnya, Muhammad Faisal menekankan soal peri pentingnya perpaduan dan saling berkongsi nilai yang sama dalam kalangan bangsa Malaysia yang bertamadun, seperti menolak rasuah dan saling bantu-membantu apabila berlakunya musibah atau bencana alam.

Artikel Berkaitan:

"Malahan, ABIM menyingkap tamadun agung Islam silam seperti di Andalusia yang turut berinteraksi dengan tamadun Hindu dan China untuk belajar bagaimana mengembangkan teori Matematik dan mencetak buku pada harga yang lebih murah.

"ABIM menegaskan bahawa inilah semangat 'lita'arafu'', yang bukan hanya bermaksud seruan untuk saling mengenal, malah supaya kita saling berinteraksi dan menghormati dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," ujarnya.

Justeru, tegasnya, PLKN adalah platform yang sangat baik kepada pembinaan karakter belia dan pemerkasaan negara bangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!