Tiga direkod keterangan kes gangguan seksual babit pegawai kanan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah direkod keterangan susulan dakwaan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes di peringkat akhir siasatan di mana pihak polis telah memanggil pegawai terbabit untuk rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Polis turut merampas telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

Beliau berkata, keterangan pegawai itu telah dirakam pihaknya pada Khamis bermula kira-kira jam 2.30 hingga 4 petang.

Katanya, tiga individu yang direkod keterangan ialah pegawai kanan terbabit serta pegawai khasnya dan pengadu yang juga wanita dalam kes ini.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Sebelum itu, tular paparan laporan polis oleh seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang juga perunding kewangan membuat mendakwa pegawai terbabit mengganggunya di WhatsApp sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan polis yang tular itu, wanita terbabit mendakwa pegawai terbabit mengganggu dengan perkongsian video dan perbualan lucah.