Harimau Selatan lebar rentak kemenangan

JDT menewaskan Kuching FC pada aksi liga dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam Khamis. - Foto JDT
JDT menewaskan Kuching FC pada aksi liga dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam Khamis. - Foto JDT
A
A
A

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan apabila meraih mata ke-70 liga selepas menewaskan Kuching City, 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Kemenangan ke-23 liga selepas mengharungi 24 perlawanan itu membolehkan Harimau Selatan kendalian Esteban Solari menjarakkan diri dengan pasukan tempat kedua Selangor FC (52 mata) yang kurang satu perlawanan.

Pada perlawanan itu, Solari merehatkan beberapa pemain yang menyertai kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan pada Selasa apabila hanya menampilkan Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Separuh masa pertama Harimau Selatan menguasai permainan, namun kurang agresif apabila gagal mengancam kubu The Cats yang lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Daryl Sham pula yang pertama kali membarisi kesebelasan utama sukar mengisi tempat Arif Aiman Hanapi setelah tidak berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Sementara itu, The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak tampak berjaya membentuk benteng kukuh mengekang serangan JDT.

Jentera depan JDT, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing berjaya melakukan percubaan, namun rembatan gagal menghasilkan gol.

Bergson turut melakukan umpanan cantik kepada Daryl Sham, namun pemain muda itu memilih melakukan hantaran kepada Forestieri yang terlalu kuat menyaksikan peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemain tuan rumah buntu untuk menghasilkan gol, Bergson bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit ke-34.

Juan Muniz berpeluang untuk menambah jaringan buat JDT namun rembatan dalam kotak penalti dihadang pemain pertahanan, Aylton Ferreira Ananias.

Ketika permainan separuh masa pertama hampir tamat, JDT dihadiahkan sepakan percuma setelah Bergson diterjah Joseph Kalang Tie.

Pakar sepakan percuma JDT, Muniz memanfaatkan peluang apabila melakukan rembatan lencong menewaskan Wan Muhammad Azraie buat kali kedua pada minit ke-42.

Separuh masa kedua, JDT terus melancarkan serangan bagi menambah jaringan menyaksikan Daryl Sham hampir menjaringkan gol dengan rembatan dari jarak dekat tetapi menggegar palang gol pasukan lawan pada minit ke-53.

JDT menambah bisa serangan dengan membawa masuk Heberty Fernandes dan pemain kelahiran Brazil itu hampir mencipta jaringan minit ke-79, namun percubaan itu dinafikan Wan Muhammad Azraie.

Kuching City yang berada di kedudukan kedua tercorot liga itu turut melancarkan serangan, namun gagal mengancam penjaga gawang, Farizal Marlias.

Harimau Selatan selepas ini dijadualkan berdepan kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia di Stadium Todoroki Athletics pada 28 November.

Kemudian, Harimau Selatan akan bertandang ke Stadium Darul Makmur berdepan Sri Pahang bagi aksi Liga Super pada 3 Disember.