Koperal didakwa pukul isteri guna bakul

Mohd Zulhazree (tengah) tiba di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan bakul.
Mohd Zulhazree (tengah) tiba di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan bakul.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan mencederakan isterinya, Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Zulhazree Razali, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya berusia 29 tahun dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Hulu Bercham 8, Bandar Baru Putra di sini sekitar jam 7 pagi pada 9 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Bagi Seksyen 323, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 326A, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 323.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Syahmi Amran.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Januari tahun depan.