Pertumbuhan ekonomi perlahan bukan hanya di Selangor - Sze Han

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Pertumbuhan ekonomi bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang lemah bukan sahaja berlaku di Selangor, bahkan di seluruh negara dan di rantau ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, masalah itu tidak dapat dielakkan dan yakin pertumbuhan itu kembali pulih pada tahun depan.

"Kita yakin pertumbuhan ekonomi Selangor bertambah baik berdasarkan situasi ekonomi dunia pada masa ini," katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Sebelum itu, Mohamed Azmin meminta penjelasan daripada Sze Han mengenai perancangan kerajaan negeri mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sedangkan dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan di Selangor mencatatkan pertumbuhan perlahan.

Mohamed Azmin memberitahu, pada masa ini, sektor pembuatan hanya mencatatkan kadar pertumbuhan 1.4 peratus, manakala sektor perkhidmatan mencatatkan hanya 5.8 peratus di negeri itu.

Mengulas pertanyaan Mohamed Azmin berhubung apakah kerajaan Selangor mempunyai syarat ketat terhadap syarikat yang melabur dan peratusan kebergantungan pekerja asing di negeri ini, Sze Han berkata, setiap pelabur mempunyai syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Apabila pelabur membawa masuk pelaburan mereka ke Malaysia, sudah tentu ada syarat tertentu termasuk peratusan pekerja tempatan yang mereka perlu ada berbanding dengan pekerja asing," jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga pada masa sama ingin mewujudkan ekosistem automatif seperti menambah baik hala tuju penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Artikel Berkaitan:

Menurut Sze Han, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pembukaan lebih banyak pembangunan stesen pengecas EV.

Mengulas soalan tambahan, ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim tentang jaminan kerajaan negeri memberi peluang pekerjaan kepada 100,000 rakyat Selangor, Sze Han berkata, sebagai sebuah negeri pemacu ekonomi negara, Selangor memberi peluang semua rakyat di negara ini.

"Kita tak boleh halang rakyat daripada negeri lain untuk masuk dan mencari rezeki di Selangor, malah pintu kita sentiasa terbuka tak kira mereka dari negeri mana, sebaliknya jika ia dapat memberi peluang pekerjaan dan tempat kediaman lebih baik dan selesa, maka kerajaan negeri mengalu-alukan semua rakyat Malaysia untuk berhijrah ke Selangor," tambah beliau.