Dilema warga Palestin di Malaysia, ingin pulang bertemu keluarga

Seluruh keluarga Waleed (kiri) serta isteri bersama empat anak termasuk berusia dua tahun terbunuh dalam serangan bom oleh tentera Zionis di bandar Gaza, 25 Oktober lalu.
Seluruh keluarga Waleed (kiri) serta isteri bersama empat anak termasuk berusia dua tahun terbunuh dalam serangan bom oleh tentera Zionis di bandar Gaza, 25 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermata besar bulat, kanak-kanak comel berusia dua tahun itu memandang ke arah kamera sambil berceloteh yang entah apa maknanya.

Akan tetapi, telatah anak kecil itu sudah cukup untuk membuatkan si ayah, Waleed Almahallawi, 40, berbangga bahawa anaknya seorang yang pintar, walaupun abangnya Dr Wesam Almahallawi, 43, mempunyai pendapat berbeza.

Mengimbas kembali perbualan menerusi panggilan video itu kepada Bernama, penolong pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkenaan tersenyum.

"Setiap kali dia telefon dan saya buka video, dia akan beritahu saya, ‘Anak lelakiku nak bercakap dengan kamu,’ (sekalipun) anak saudara saya itu masih terlalu kecil dan belum pandai bercakap,” kata Wesam sambil ketawa kecil.

Kemudian riak wajahnya berubah. Air mukanya muram, dan sepanjang perbualan selepas itu, bahasa tubuh yang dipamerkan membuatkan dia seolah-olah terperuk di kerusi.

Katanya, panggilan video itu adalah kali terakhir dia melihat wajah anak saudaranya, Muath, dan Waleed, kerana beberapa hari kemudian adik lelakinya berserta isteri dan empat anak mereka terbunuh apabila bangunan yang didiami mereka musnah dalam serangan misil Israel pada 25 Oktober lepas.

Asap memenuhi ruang udara selepas letupan di bahagian utara Semenanjung Gaza. - Foto EPA
Asap memenuhi ruang udara selepas letupan di bahagian utara Semenanjung Gaza. - Foto EPA

Turut terkorban ialah 15 lagi ahli keluarga mereka. Bagaimanapun ibu bapa serta empat lagi adik beradiknya berada di tempat lain semasa bangunan berkenaan runtuh.

Artikel Berkaitan:

Waleed merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) yang mendaftar secara dalam talian di USIM dan sepatutnya telah berada di Malaysia bersama-sama keluarganya bagi menyambung pengajian. Namun, dia gagal mendapat kebenaran untuk keluar dari Gaza.

Hakikat itu menghantui Wesam. "Saya tidak sabar menunggu ketibaannya. Dia sepatutnya datang pada 2024.”

Derita yang tersendiri

Bagi rakan-rakan serta ahli keluarga pelajar dan siswazah Palestin yang terkorban dalam konflik Palestin-Israel kali ini, mereka berada dalam derita yang tersendiri, cuba mengimbangi hasrat untuk pulang ke tanah air serta bertemu saudara mara mereka buat kali terakhir dan keinginan memastikan pasangan serta anak-anak mereka selamat di Malaysia.

Waleed adalah antara sekurang-kurangnya lapan pelajar dan siswazah Palestin dari universiti negara ini yang telah terkorban dalam konflik itu - kebanyakannya terbunuh bersama-sama keluarga masing-masing. Yang turut disahkan terkorban ialah alumni USIM Dr Saeed Dahshan, alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tayseer Ibrahim dan penuntut PhD USIM, Mohamed Jamil Alzaanin serta isterinya, Kholoud Elzaneen yang merupakan pelajar ijazah sarjana USIM.

Terbaharu, lepasan Universiti Malaya, Dr Raed Qaddoura disahkan maut bersama-sama keluarganya termasuk bayi perempuan berusia dua minggu, pada 20 November lalu.

Menurut Kedutaan Palestin di Malaysia, jumlah sebenar mereka yang terbunuh tidak dapat dipastikan kerana kekangan komunikasi selain masih banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang tidak dapat dikeluarkan.

Dianggarkan lebih 14,000 warga Palestin terbunuh dalam serangan bertali arus Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak konflik bermula pada 7 Oktober.

Lebih 5,000 daripada yang terkorban itu adalah kanak-kanak. Israel pula melaporkan kira-kira 1,200 rakyatnya maut.

Rakyat Palestin memeriksa runtuhan struktur yang musnah berikutan serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto EPA
Rakyat Palestin memeriksa runtuhan struktur yang musnah berikutan serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto EPA

Terdapat lebih 800 pelajar Palestin di Malaysia, kebanyakannya dari Gaza. Kaunselor Pertama Kedutaan Palestin di Malaysia, Mohammed Abudagga memberitahu Bernama bahawa setiap warga Gaza di Malaysia mengalami kematian ahli keluarga dalam konflik kali ini.

Wesam yang mengajar subjek komunikasi di USIM berkata, dia pada awalnya tidak bimbang apabila konflik itu bermula.

Baik dia ataupun Waleed menyangka konflik tersebut tidak ada bezanya dengan yang berlaku sebelum ini - ketegangan tercetus hanya sekejap dan kemudian reda, dan kehidupan kembali seperti biasa.

Akan tetapi, peningkatan angka kematian serta skala kemusnahan yang begitu besar mengubah tanggapan mereka.

"Saya mula berasa bimbang apabila (Israel) mula melancarkan serangan ke atas hospital dan menceroboh Gaza,” katanya, menambah konflik kali ini adalah berbeza dan amat buruk berbanding sebelum-sebelum ini.

"Kalaulah...”

Prof Madya Dr Ibrahim Fahad Sulaiman yang juga penyelia PhD Jamil berkata, pada pertemuan terakhir dengan pelajarnya itu, mereka berbincang tesis Jamil serta pembetulan yang perlu dilakukan.

"Dia datang berjumpa saya 10 hari sebelum pulang ke Gaza (pada 10 September). Saya tidak menyangka, kira-kira 34 hari kemudian, orang yang saya kenal mati dalam peperangan dan dia terbunuh bersama-sama ahli keluarganya. Memang amat mengejutkan.

"Kalaulah saya dapat tangguhkan (perjalanan) dia, tetapi (dia benar-benar) hendak pulang ke sana,” katanya, menambah Jamil bekerja di Kementerian Dalam Negeri di bawah Pihak Berkuasa Palestin.

Ibrahim yang berasal dari Nigeria, menggambarkan Jamil sebagai seorang pelajar yang berdedikasi.

Menurut Ibrahim, 20 ahli keluarga Jamil terbunuh dalam serangan bom itu.

Jamil terkorban bersama-sama isterinya, empat daripada lima anak mereka serta kedua orang tuanya pada 10 Oktober.

Sebelum kembali ke Gaza, Jamil tinggal di Malaysia selama lebih tiga tahun. Isterinya juga adalah penuntut USIM dan kesemua anaknya berada di Malaysia dari Mei hingga September tahun ini.

Bagi seorang lagi pelajar Palestin, Basma Almaza, 22, dia melihat kepulangan rakannya Sulaiman Abu Anza, 23, ke Gaza bagi menziarahi ibu adalah satu suratan takdir. Masakan tidak, amat sukar untuk pulang ke Gaza walaupun pada waktu-waktu biasa.

Kedua-duanya adalah penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary di Kedah.

Menurut Basma, proses perjalanan - termasuk mendapatkan pasport, visa dan kebenaran untuk memasuki Gaza daripada pihak tentera Mesir serta pihak berkuasa Israel - adalah amat sukar dan mengambil masa berbulan-bulan.

Katanya, dia pernah mencuba namun gagal.

Entah bagaimana Sulaiman berjaya berbuat demikian. Beberapa bulan kemudian, Basma mendapat khabar Sulaiman maut dalam pengeboman pada 7 Oktober.

"Apabila saya terima berita itu pada 7 Oktober, saya bertanya di sana-sini, ‘Dia ada di Gaza?’ Oleh sebab itulah saya anggap khabar itu satu pembohongan. Memang amat sukar (untuk ke Gaza). Saya tidak tahu bagaimana dia dapat balik,” katanya.

Boleh dikatakan 'terkandas' di Malaysia, Basma berkata, dia telah lama terputus hubungan dengan keluarganya dan hanya mampu berharap yang mereka semua masih hidup.

Gadis itu yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan, melihat Sulaiman sebagai seorang abang yang menjaganya dan membantu dia menyesuaikan diri dengan kehidupan di kolej dan Malaysia.

Sulaiman, katanya, adalah seorang yang mempunyai rasa ingin tahu dan pintar. Tambahnya, Sulaiman juga sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baharu dan tidak mudah berputus asa.

"(Misalnya) bola sepak. Walaupun saya boleh nampak yang dia tidak ada bakat dalam sukan itu, dia tetap mencuba,” kata Basma.

Lebih 12,500 rakyat Palestin terkorban akibat konflik Hamas-Israel. - Foto EPA
Lebih 12,500 rakyat Palestin terkorban akibat konflik Hamas-Israel. - Foto EPA

Tiada pilihan

Walau apa juga keinginan mereka, sama ada pulang ke tanah air atau tinggal di sini, pelajar Palestin tidak ada pilihan selain terus kekal di Malaysia dan berdepan risiko melanggar undang-undang imigresen.

Seorang daripada mereka yang tidak mahu dikenali, memberitahu Bernama dia memutuskan untuk tinggal di sini bersama-sama isteri dan anak-anak, yang juga merupakan satu lagi masalah.

"Saya mendaftar untuk menyambung pengajian ijazah kedua kerana saya tidak boleh tinggal di sini secara haram,” katanya, menambah bukan mudah untuk tinggal di Malaysia kerana dia tidak boleh bekerja.

Pelajar antarabangsa dan pencari suaka tidak dibenarkan bekerja secara rasmi di Malaysia.

Bagaimanapun ada usaha yang diambil bagi membantu pelajar Palestin yang mungkin melanggar undang-undang imigresen negara ini.

Abudagga berkata, kedutaan itu sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk membenarkan pelajar dan siswazah Palestin tinggal di negara ini.

Akan tetapi bagi Wesam, isu itu sudah tidak penting lagi. Sekalipun dia mahu anak-anak dan isterinya menetap di Malaysia, dia sendiri telah membuat keputusan.

Menyifatkan adiknya sebagai seorang yang 'amat bertanggungjawab dan menguruskan segala-galanya', Wesam berkata, sewajarnya untuk dia kembali ke Gaza sebagai penghormatan kepada adiknya itu.

"Saya lebih rela mati bersama-sama adik saya daripada...” Wesam terhenti, cuba melawan air mata daripada tumpah, sebelum menyambung, "... daripada tinggal dalam keadaan selamat namun jauh dari dia.” - Bernama