Peluang terakhir Kelantan FC

Sheikh Mohd Nasir
Sheikh Mohd Nasir
A
A
A

KELANTAN FC diberikan peluang sehingga 30 November untuk menyelesaikan masalah gaji pasukan itu yang masih tertunggak selama dua bulan iaitu pada Julai dan Ogos.

Pengerusi badan bebas First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, Kelantan FC masih tidak diberikan lesen kebangsaan walaupun telah melengkapkan sepenuhnya dokumen permohonan.

Menurutnya, Kelantan tidak memiliki rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun namun didapati memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos.

"FIB telah mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023.

"Namun, setelah tarikh akhir 15 November 2023, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Sheikh Mohd Nasir berkata, hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan FC adalah denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

"Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

"Sekiranya Kelantan FC telah menyelesaikan langkah pertama, Kelantan FC masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025," katanya.

Beliau turut memaklumkan FIB telah mengambil keputusan untuk memberikan hukuman kedua kepada Kelantan FC dengan sekatan perpindahan MFL sehingga semua kes tempatan dan asing diselesaikan sepenuhnya.

"Seterusnya, untuk langkah kedua, Kelantan FC perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 10 pasukan diberikan lesen kebangsaan musim depan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC (TFC), Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan PDRM FC.

Tiga lagi pasukan diberikan lesen kebangsaan namun dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan dalam menyediakan notis deklarasi kepada FIB iaitu KL City FC, Sabah FC dan Kelantan United.