Croatia lega raih tiket Euro 2024

Budimir meraikan jaringannya ketika membantu Croatia menewaskan Armenia 1-0 di Zagreb awal pagi Rabu. - Foto AFP
Budimir meraikan jaringannya ketika membantu Croatia menewaskan Armenia 1-0 di Zagreb awal pagi Rabu. - Foto AFP
A
A
A

SATU jaringan sudah cukup buat Croatia untuk meraih slot ke saingan akhir Euro 2024 setelah mengalahkan Armenia 1-0, awal pagi Rabu.

Pemain penyerang, Ante Budimir muncul wira apabila meledak gol tunggal pada minit ke-43 untuk meletakkan Crotia tangga kedua Kumpulan D.

"Kami berhak layak ke Euro dan kami mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan bagi menghadapinya," ujar kapten Crotia, Luka Modric.

Dalam aksi itu, Croatia menguasai perlawanan tetapi gagal menjaringkan gol sehinggalah tandukan Budimir memecah kebuntuan dua minit sebelum rehat.

Hantaran Borna Sosa dari sebelah kiri tepat menuju penyerang itu yang melepasi kawalan pemain lawan untuk menanduk masuk dari jarak dekat.

Sebelum ini peluang Croatia untuk layak secara automatik ke Jerman tahun depan tampak tipis selepas tewas kepada Turkiye dan Wales Oktober lalu.

Bagaimanapun, mereka kini menjadi pasukan ke-21 dan meraih tiket automatik terakhir untuk mara ke Euro 2024.

Kejayaan mara ke pusingan akhir Eropah itu yang keenam berturut-turut buat Croatia dan ketujuh secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Mereka menduduki tempat kedua dan ketiga pada dua Piala Dunia terakhir tetapi tidak pernah melepasi suku akhir dalam saingan Euro.