Proses dadah RM4.3 juta dalam rumah teres dua tingkat

Antara barangan memproses dadah dirampas di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Sungai Long, Kajang.- Foto Ihsan PDRM
Antara barangan memproses dadah dirampas di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Sungai Long, Kajang.- Foto Ihsan PDRM
A
A
A

KAJANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah bernilai RM4.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Sungai Long di sini yang dipercayai dijadikan makmal pemprosesan dadah Selasa lalu.

Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, tiga lelaki turut ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang.

Tangkapan melibatkan suspek berusia 36 tahun berperanan sebagai tukang proses dadah, manakala pembantunya berusia 37 tahun dan seorang lagi individu berusia 32 tahun berperanan sebagai perantara dengan ketua sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dalam serbuan itu polis menemui ketulan dan cecair disyaki dadah jenis ketamin seberat 9.78kg di bahagian dapur rumah, selain dadah sama seberat 86.52kg di ruang makan.

“Penemuan dadah sama masing-masing seberat 138 gram (g) dan 121.6g di bilik tingkat bawah dan di dalam tandas dengan berat keseluruhan 96.55kg.

“Bekalan dadah berkenaan mampu dibekalkan kepada 193,107 penagih dalam tempoh sehari dengan mengambil kira penggunaan sebanyak 0.5g setiap seorang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara barangan memproses dadah dirampas di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Sungai Long, Kajang. - Foto Ihsan PDRM
Antara barangan memproses dadah dirampas di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Sungai Long, Kajang. - Foto Ihsan PDRM

Menurutnya, pihaknya juga merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk memproses dadah antaranya cecair kimia seberat 15kg, tong gas, penapis dan alat penimbang digital.

Artikel Berkaitan:

“Kita menyita sebuah kereta Toyota Mark X, Proton Wira dan lima akaun bank yang mempunyai wang bernilai RM254,819.90.

“Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah methaphetamine dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Semua suspek direman selama enam hari mulai sehingga 30 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.