Thailand kenakan larangan import iguana

Thailand mengenakan larangan import terhadap semua spesies iguana dalam usaha mengawal lonjakan populasi reptilia itu. - Foto AFP
Thailand mengenakan larangan import terhadap semua spesies iguana dalam usaha mengawal lonjakan populasi reptilia itu. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand mengenakan larangan import terhadap semua spesies iguana dalam usaha mengawal lonjakan populasi reptilia itu yang banyak merosakkan tanaman dan menimbulkan masalah kepada penduduk.

Jurucakap kerajaan, Chai Wacharonke menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan iguana yang merosakkan tanaman hingga menimbulkan kesulitan kepada petani.

"Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengeluarkan larangan import terhadap semua spesies iguana dalam keluarga Iguanidae yang dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies-Spesies Terancam (CITES) ke Thailand, berkuat kuasa 17 November sehingga diberitahu kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chai berkata bahawa sebanyak 244 individu di Thailand memiliki 3,419 iguana dan mendaftar dengan Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Konservasi Tumbuhan dengan Chonburi mencatat jumlah iguana terbanyak iaitu 982.

"Jika keadaan dapat dikawal, kementerian mungkin akan mempertimbangkan untuk menarik balik larangan ini," katanya.

Minggu lalu, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Konservasi melaporkan peningkatan jumlah iguana hijau di wilayah Lopburi.

Merujuk kepada peningkatan jumlah iguana hijau di wilayah Lopburi, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Konservasi menjelaskan bahawa iguana ini adalah dari spesies "non-native" yang tidak wujud secara semula jadi di Thailand.

Jabatan itu menegaskan bahawa pelepasan reptilia ini secara tidak sah adalah kesalahan serius yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda 50,000 baht atau kedua-duanya seperti termaktub dalam Akta Konservasi dan Perlindungan Haiwan Liar 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: