Ahli Parlimen Maran semakin pulih - Hamzah

Hamzah (dua dari kiri) melawat Ismail yang kini dirawat di IJN pada Selasa. - Foto Facebook Hamzah Zainudin
Hamzah (dua dari kiri) melawat Ismail yang kini dirawat di IJN pada Selasa. - Foto Facebook Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin pulih.

Beliau berkata, Ismail dijangka keluar daripada IJN dalam tempoh masa terdekat.

“Alhamdulillah keadaan kesihatan beliau bertambah baik dan dijangka dapat keluar daripada IJN sedikit masa lagi,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi persidangan hari ini bermula memaklumkan Ismail dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN.

Bagaimanapun, Johari tidak memperincikan secara lanjut keadaan Ismail.

Pada 4 November tahun lalu, Ismail mengumumkan bahawa beliau kini bersama Pas, sehari selepas diumum akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan daripada itu, UMNO telah menggugurkan keahliannya bersama tiga individu lain selepas didapati mencalonkan diri bagi bertanding mewakili parti lawan untuk PRU15.

Antara ahli yang digugurkan ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar; Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau) dan Datuk Azhar Ahmad bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan: