Berbeza agama tidak halang kakak jaga adik lumpuh

Chandra (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan Mohd Na'im (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan ke rumah penerima bantuan bulanan MAIWP. Foto: MAIWP.
Chandra (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan Mohd Na'im (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan ke rumah penerima bantuan bulanan MAIWP. Foto: MAIWP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun berbeza agama, namun bukan penghalang bagi R Chandra, 49, membuktikan kasih sayang dengan menjaga adiknya, Mohamed Amin Mohamed Shahaad, 38, yang lumpuh selepas terlibat kemalangan motosikal pada 2007.

Chandra berkata, dia mempunyai tiga adik yang beragama Islam hasil perkahwinan ibunya dengan bapa tiri ketika usianya dua tahun.

Bagaimanapun katanya, dia kekal dengan agama asal walaupun dibesarkan dalam keluarga Islam.

"Cara hidup sama macam orang Islam cuma mula amalkan Hindu selepas berkahwin dengan suami ketika usia 19 tahun.

"Walaupun sudah berkahwin namun hubungan kekeluargaan tidak terputus kerana suami saya pun bapa (tiri) yang carikan," kongsinya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Chandra (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan Mohd Na'im (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan ke rumah penerima bantuan bulanan MAIWP. Foto: MAIWP.
Chandra (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan Mohd Na'im (dua dari kanan) yang mengadakan lawatan ke rumah penerima bantuan bulanan MAIWP. Foto: MAIWP.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melawat Mohamed Amin yang merupakan seorang penerima bantuan kewangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM500.

Chandra berkata, dia memohon bantuan Baitulmal MAIWP selepas disyorkan oleh beberapa pihak.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan Islam jadi saya cuba guna saluran yang ada, namun permohonan ditolak sebelum ada yang syorkan untuk memohon dengan Baitulmal memandangkan Mohamed Amin beragama Islam.

"Saya datang dengan pakai tudung dan jelaskan situasi dihadapinya. Permohonan diluluskan dan bermula dengan bantuan bulanan RM200 kini ditingkatkan kepada RM500.

"Sebelum ini pernah gadai emas kerana tidak cukup duit untuk uruskan Mohamed Amin dan dengan bantuan diterima ini banyak meringankan beban," katanya.

Bercerita lanjut, Chandra berkata, Mohamed Amin kemalangan ketika membonceng motosikal bersama rakan sewaktu mereka mahu keluar makan.

"Rakannya tidak cedera teruk tapi Mohamed Amin koma hampir enam bulan selain kaki kiri terpaksa dipotong.

"Sejak itu dia tinggal dengan saya dan saya uruskan segala keperluan sebelum saya mohon bantuan Baitulmal dua tahun lalu," katanya.

Ujarnya, dia mengambil tanggungjawab menjaga adik-beradik lain selepas ibu dan bapa tiri meninggal dunia.