Kongres Organisasi Cina: Bersatu Seremban buat laporan polis

Mohamad Ja’afari (tengah) bersama ahli Bersatu Bahagian Seremban selepas membuat laporan polis di IPD Seremban, dekat sini hari ini.
Mohamad Ja’afari (tengah) bersama ahli Bersatu Bahagian Seremban selepas membuat laporan polis di IPD Seremban, dekat sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Seremban menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik Kongres Organisasi Cina dianjurkan Pertubuhan Dong Zong bagi membantah pelaksanaan pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Ketua Penaja Bersatu Bahagian Seremban, Mohamad Ja’afari Biaddin@Rosli berkata, kongres terbabit boleh mencetuskan suasana tidak harmoni serta memecahbelahkan keamanan antara kaum.

“Kami melihat tiada keperluan mendesak untuk menganjurkan kongres ini memandangkan kelonggaran telah diberikan kepada ibu bapa, sebaiknya mereka (Pertubuhan Dong Zong) mengadakan perbincangan terus dengan kementerian berkaitan untuk langkah seterusnya, tidak perlu sampai menganjurkan perhimpunan.

"Pertubuhan Dong Zong sepatutnya akur dengan arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan terhadap pelaksanaan yang berdasarkan kepada keputusan ibu bapa di sekolah," katanya selepas laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini.

Mohamad Ja’afari Biaddin@Rosli
Mohamad Ja’afari Biaddin@Rosli

Menurutnya, penganjur kongres boleh dikenakan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Perhimpunan Aman kerana menganjurkan sesuatu perjumpaan yang bertujuan menghasut dan menimbulkan kekacauan.

"Jika diteruskan kekacauan serta ketegangan antara kaum boleh tercetus jadi kami mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kongres ini tidak berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ja’afari berkata, Pertubuhan Dong Zong harus berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan supaya ia tidak mengguris dan menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Melayu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, laporan polis dibuat oleh wakilnya, ahli Bersatu Bahagian Seremban, Datuk Ali Majid kira-kira jam 10 pagi.