'Mereka datang sendiri sertai Gagasan Rakyat' - Masiung

Masiung (tengah) mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di Sandakan.
Masiung (tengah) mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Kebanyakkan individu yang menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) adalah ahli daripada parti lain yang datang sendiri ke pejabat Gagasan Rakyat.

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, beliau tidak menolak ada ramai ahli daripada parti pembangkang telah beralih arah kepada Gagasan Rakyat.

Menurutnya, kebanyakan mereka adalah daripada ahli UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang datang sendiri untuk menyertai Gagasan Rakyat.

"Kita tidak boleh menolak penyertaan mereka kerana ia pilihan mereka sendiri mahu beralih arah kepada Gagasan Rakyat.

"Malah sebahagian ahli pembangkang itu telahpun membentuk cawangan Gagasan Rakyat sebagai solidariti bahawa mereka menolak parti dalam blok pembangkang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 'merampas' keahlian parti lain yang didakwa berlaku dalam Gagasan Rakyat.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menjelaskan bahawa dalam Gagasan Rakyat mereka mempunyai sistem yang cekap bagi mengenal pasti keahlian individu supaya tidak berlaku sebarang pertindihan ahli dari parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas keahlian dan tidak menerima ahli yang telah berdaftar dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Artikel Berkaitan:

"Kalau di kawasan Kuamut pula, kita bagi syarat supaya setiap permohonan menjadi ahli parti hendaklah mengemukakan salinan kad pengenalan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan kita dapat mengesan status keahlian individu tersebut sebelum menandatangani sendiri borang keahlian dalam Gagasan Rakyat," katanya.

Katanya, setakat ini kawasan Kuamut telah merekodkan lebih 4,000 ahli Gagasan Rakyat termasuk 1,000 keahlian baharu yang sedang dalam proses pendaftaran.

"Setakat ini juga terdapat 55 cawangan parti itu telah dibentuk menerusi 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM)," katanya.