Safirul yakin pemain AMD tidak akan diperam

Safirul Azli
Safirul Azli
A
A
A

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar yakin barisan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menyertai Selangor tidak akan hanya memanaskan bangku simpanan sebaliknya mendapat minit bermain secukupnya.

Malah Safirul Azli yang menjadi watak penting dalam memasarkan kelompok pertama AMD itu juga percaya beberapa pemain terbabit berpeluang beraksi dalam saingan Liga Premier bersama skuad Selangor II.

“Setakat apa yang saya tahu daripada komposisi dan ketika latihan, nampak mereka akan diberikan peluang bermain dalam perlawanan sama ada bersama Selangor II, skuad Piala Presiden ataupun di peringkat Piala Belia.

“Saya rasa keputusan ibu bapa untuk membenarkan pelatih AMD menyertai Selangor juga kerana mahu anak-anak mereka mendapat peluang bermain dan jika itu tidak berlaku, sudah tentu mereka akan mengadu tentang hal ini.

“Dalam syarat yang telah dipersetujui antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan ibu bapa juga menyatakan mesti ada pendedahan perlawanan dalam Liga Super atau Liga Premier. Lagipun, seramai 15 pemain AMD yang menyertai Selangor bermain dalam skuad Bawah 19 (B-19) tahun negara.

Beberapa pemain daripada kelompok pertama AMD membarisi skuad B-19 Malaysia.
Beberapa pemain daripada kelompok pertama AMD membarisi skuad B-19 Malaysia.

“Para pemain terbabit memerlukan minit bermain kerana mereka akan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Uzbekistan tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Selangor berjaya mendapatkan khidmat 28 pemain daripada kumpulan pertama pelatih AMD, namun ia menimbulkan kebimbangan mereka tidak akan mendapat minit bermain secukupnya.

Artikel Berkaitan:

Safirul Azli berkata, apa yang lebih penting adalah kesemua pemain terbabit telah mempunyai kontrak dan tidak terkapai-kapai mencari pasukan untuk diwakili.

“Bagi saya ia satu pencapaian yang bagus dan menepati indeks petunjuk prestasi (KPI) NFDP,” jelasnya.