Hanya perlu lima saat toleh belakang

Menoleh belakang untuk tempoh lima saat mampu menyelamatkan nyawa dan sesuai untuk diamalkan. - Gambar hiasan
Menoleh belakang untuk tempoh lima saat mampu menyelamatkan nyawa dan sesuai untuk diamalkan. - Gambar hiasan
A
A
A

INSIDEN anak tertinggal di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian bukanlah sesuatu isu yang baharu kerana kejadian ini sudah sering berlaku.

Namun sejak kebelakangan ini, kejadian malang ini semakin kerap terjadi dan meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga mangsa dan juga masyarakat.

Pada Rabu minggu lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Tanggal 25 Oktober lalu pula, seorang bayi perempuan berumur 16 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di kawasan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Nerus, Terengganu.

Pada 6 Oktober, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut selepas ditinggalkan hampir 10 jam dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras.

Ini antara sorotan kejadian anak tertinggal di dalam kereta sehingga menyebabkan kematian dan semuanya dikatakan berpunca akibat ibu bapa terlupa yang anak mereka duduk di kerusi penumpang belakang.

Anak-anak ini sepatutnya dihantar ke taman asuhan kanak-kanan (taska) atau rumah pengasuh namun disebabkan terlupa, mereka ditinggalkan di dalam kereta untuk tempoh yang lama.

Melihat kepada kejadian yang semakin kerap ini menyebabkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menetapkan peraturan baharu dalam prosedur operasi standard (SOP) pengendalian taska dan taman didikan kanak-kanak (tadika) bagi mengelak kejadian anak tertinggal di dalam kereta.

Artikel Berkaitan:

KPWKM mewajibkan pengendali taska dan tadika untuk segera menghubungi ibu bapa jika ada anak mereka tidak hadir ke kelas seperti biasa.

Penulis lihat peraturan ini wajar dilaksanakan dan sedikit sebanyak dapat membantu mengelakkan tragedi anak tertinggal di dalam kereta kerana dapat memberi peringatan kepada ibu bapa supaya tidak lupa menghantar anak mereka ke taska atau tadika.

Parkir undur

Namun hakikatnya tiada ibu bapa yang sengaja mahu meninggalkan anak di dalam kereta, mungkin adakala akibat kepenatan dalam melakukan tugasan harian, kita terlupa.

Penulis mendapati ada pelbagai inisiatif yang dicadangkan oleh orang ramai di media sosial. Sebagai contoh ada yang mencadangkan letakkan kertas nota di stereng kereta.

Ini merupakan inisiatif yang baik kerana sebagai pemandu, kita tidak terlepas untuk memandang stereng ketika memandu. Jadi inisiatif ini mungkin berkesan jika diamalkan.

Selain itu, ada cadangan mengubah kedudukan kerusi bayi ke bahagian penumpang hadapan. Ia membolehkan ibu bapa sentiasa peka dengan kehadiran anak kecil di dalam kenderaan.

Namun dari sudut keselamatan, tindakan ini tidak sesuai dilakukan.

Selain itu, ibu bapa juga mungkin boleh setkan peringatan atau alarm di telefon pintar untuk mengingatkan anda setiap hari apa yang perlu dilakukan pada waktu-waktu tertentu.

Selain itu juga, sebagai pemandu, ibu bapa boleh amalkan untuk parkir mengundur kerana ia dapat membantu untuk toleh sebentar ke belakang bagi melihat situasi parkir.

Apabila pemandu menoleh seketika ke belakang, maka mereka akan perasan apa yang ada di belakang mereka.

Sebagai pemandu juga, kita boleh ambil masa hanya lima saat untuk menoleh belakang selepas selesai parkir kenderaan.

Menoleh belakang untuk tempoh lima saat mampu menyelamatkan nyawa dan sesuai untuk diamalkan.

Ibu bapa juga boleh meletakkan telefon bimbit, beg kerja atau dompet di belakang tempat duduk bersama dengan anak mereka. Ini secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah tersebut.

Terlupa boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi kita boleh mencegahnya.

Semoga kejadian sedih ini tidak berlaku kepada kita dengan sedikit perkongsian ini.

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian