Suri rumah, bayi 8 bulan maut nahas enam kenderaan

Kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Waja maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk belakang.
Kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Waja maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk belakang.
A
A
A

NIBONG TEBAL - [DIKEMASKINI] Seorang suri rumah dan bayi perempuan berusia 8 bulan maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer (KM) 160.9, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua buah treler, tiga kereta dan satu pacuan empat roda.

Menurutnya, mangsa, Siti Khadijah Haron, 33, bersama Nur Qaireen Marissa Nor Azry maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk belakang Proton Waja.

"Kemalangan melibatkan enam kenderaan iaitu dua buah treler, tiga buah kereta yang terdiri daripada Perodua Bezza, Honda City, Proton Waja dan sebuah pacuan empat roda jenis Volvo. Siasatan awal mendapati mangsa dan bayinya bersama dua anaknya yang lain menaiki Proton Waja dipandu suaminya.

"Kedua-duanya maut di tempat kejadian selepas parah di kepala dan dada. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat pada jam 9 pagi ini. Pemandu Proton Waja dan dua anaknya yang lain hanya mengalami cedera ringan, manakala dua pemandu treler serta pemandu kereta lain yang terlibat tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi tadi.

Keadaan Proton Waja yang remuk akibat perlanggaran melibatkan enam kenderaan.
Keadaan Proton Waja yang remuk akibat perlanggaran melibatkan enam kenderaan.

Shafee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas salah sebuah treler hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang pacuan empat roda yang dipandu seorang doktor wanita, sebelum kenderaan berat itu turut merempuh Proton Waja dinaiki lima penumpang menyebabkannya tersepit dengan sebuah lagi treler di lorong kiri.

Katanya, treler yang hilang kawalan itu turut merempuh sebuah Perodua Bezza sehingga menyebabkan kereta tersebut melanggar Honda City di hadapannya.

Artikel Berkaitan:

"Akibat kemalangan itu, treler kedua mengalami kerosakan pada bahagian belakang, treler yang hilang kawalan rosak di bahagian sebelah tepi kiri, manakala Proton Waja rosak teruk di keseluruhan bahagian.

"Sementara Perodua Bezza mengalami kerosakan di bahagian depan, manakala Honda City dan pacuan empat roda rosak di bahagian belakang," katanya.

Difahamkan, sekeluarga yang menaiki Proton Waja terbabit dalam perjalanan secara berkonvoi untuk pulang ke Pahang selepas mengikuti hari keluarga di Alor Setar, Kedah.

Shafee berkata, akibat kemalangan tersebut, laluan lebuh raya arah selatan mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang 6km.

"Kita mengambil inisiatif untuk melancarkan lalu lintas dengan membuka laluan mandatori di KM151 arah selatan selain pembukaan laluan kontra di KM160.1 sehingga KM163. Kita sedang mencari saksi awam untuk memberi keterangan berkaitan kes ini.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.