Graduan Palestin pilu terima PhD, risau nasib keluarga di Gaza

Jehab (dua dari kiri) bergambar bersama suaminya, Abdalrahim Shehab (kiri) serta anak-anak Razan, 17, dan Tala, 7, teruja melihat skrol yang diterima pada Majlis Konvokesyen UTM ke-67 di Skudai pada Sabtu. - Foto Bernama
Jehab (dua dari kiri) bergambar bersama suaminya, Abdalrahim Shehab (kiri) serta anak-anak Razan, 17, dan Tala, 7, teruja melihat skrol yang diterima pada Majlis Konvokesyen UTM ke-67 di Skudai pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perasaan sedih dan risau menyelubungi hati graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) Akademi Tamadun Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Jehad M A Shehab sepanjang Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke -67 di sini pada Sabtu.

Jehab, 41, ditemani suaminya Dr Abdalrahim Shehab, 46, dan dua anaknya berkata, perasaannya bercampur-baur kerana ketika ini dia amat khuatir memikirkan keselamatan ibu bapa dan adik-beradik serta saudara-mara lain yang berada di Gaza, Palestin.

Ibu kepada lima anak itu berkata, pada awalnya dia keberatan untuk hadir ke majlis konvokesyen berkenaan namun disebabkan keprihatinan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang ingin berjumpa dengannya, dia bersama keluarga menerima jemputan berkenaan.

"Sudah dua hari kami terputus komunikasi dengan ibu di Gaza, pada hari ini kami mendapat perkhabaran duka daripada keluarga belah suami menyatakan rumah abang ipar diserang. Saya amat khuatir akan keselamatan mereka kerana sehingga kini tiada khabar berita dari ibu bapa dan ahli keluarga saya.

"Kehadiran saya di sini disebabkan sifat keibuan Permaisuri Johor yang menyentuh hati saya dan ketika ini saya rindu dan risaukan keselamatan ibu, bapa dan keluarga saya semuanya di Gaza," katanya sambil mengelap airmata.

Dia ditemui pemberita selepas menerima ijazah Kedoktoran (PhD) dari Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM di bilik Canselor Dewan Sultan Iskandar, UTM pada Sabtu.

Jehab yang tinggal di Malaysia sejak 2013 berkata, dia menaruh harapan untuk pulang ke negara asal untuk berjumpa ibunya Mazouza, 65, dan bapa Muhammad, 70.

"Sebelum ini saya pernah berkongsi berkaitan kejayaan melengkapkan PhD selama lima tahun dan berita itu dikagumi ibu bapa. Kebiasaannya ibu akan membalas mesej saya selepas tujuh atau lapan jam namun sejak dua hari lepas, tiada sebarang khabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jehad berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, dia bersyukur dapat menamatkan pengajian dengan sokongan suami dan ahli keluarga.

Beliau dan suami turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana keprihatin dan sokongan terhadap Palestin serta menghulurkan bantuan terutama perubatan.

"Perasaan rindu saya terhadap kira-kira 200 saudara mara sedikit terubat dengan kemesraan kenalan di sini ini yang mengundang kami ke rumah bagi memberi sokongan moral," katanya. - Bernama