Video tular: Ustaz Hakim Ramlee nafi diri 'Mr H'

Muhamad Hakim (tengah).
Muhamad Hakim (tengah).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Muhamad Hakim Ramlee menafikan dirinya adalah 'Mr H'.

Muhamad Hakim yang juga dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee berkata, tuduhan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, yang mengaitkan dirinya sebagai Mr H, disifatkan sebagai sangat berniat jahat.

"Saya tak boleh beri kenyataan lanjut kerana dituduh oleh Raja Petra. Saya pun tak tahu, saya rasa (Mr H) bukan saya kot, salah orang ini.

"Saya tak boleh beri pandangan lanjut mengenai perkara ini dan sudah dinasihatkan tidak berbuat demikian.

"Namun, saya nafikan (dakwaan Raja Petra). Apa kena mengena dengan saya pula?," katanya seperti dilapor Berita Harian pada Ahad.

Dia berkata demikian mengulas dakwaan Raja Petra, bahawa ahli PKR itu adalah dalang yang menerbitkan rakaman video berunsur lucah, membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff dan penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Dalam entri di aplikasi X, Raja Petra turut memuat naik poster pelantikan Muhamad Hakim ke jawatan Pengarah Bahagian Latihan dan Pendidikan J-KOM yang turut disertakan dengan logo PKR.

Menjawab lanjut, Muhamad Hakim berkata dia juga tidak tahu mengapa boleh dikaitkan dengan 'Mr H', selain menegaskan ia bersifat sangat rambang.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun tak tahu. Tiba-tiba (dikaitkan dengan Mr H), macam mana boleh naik saya sebagai Mr H?," tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Berita Harian melaporkan Muhamad Hakim mengakui masih menganggotai PKR, namun enggan mendedahkan perincian lanjut berhubung perkara itu.

Semalam, Abdul Wahab, 33, mendakwa menjadi kambing hitam selepas diarahkan oleh individu dikenali sebagai 'Mr H' untuk merakam panggilan video bersama Mohammad Agus, bagi tujuan menjatuhkannya.

Lelaki itu turut mendakwa rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak kelmarin, adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata polis masih menyiasat identiti 'Mr H'. - Awani