PRK Kemaman: SPR tubuh lima pasukan penguat kuasa kempen

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan lima Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

Beliau berkata calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga diingatkan bahawa mereka tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan/komponen.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya," katanya.

Selepas pengisytiharan calon bertanding dalam PRK itu hari ini, masa berkempen kini bermula sehingga 11.59 malam, 1 Disember ini.

SPR menetapkan 28 November ini sebagai tarikh mengundi awal dan 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PAS).

Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air dengan 506 undi. - Bernama