Gerhana matahari Anulus peluang kenali sains, astronomi

Pemandangan Fenomena Gerhana Matahari Anulus (Separa) berjaya dirakam bermula jam 11.15 pagi hingga 1.08 tengahari di hadapan Dataran Masjid Zahir, Alor Setar hari ini. -Foto Bernama
Pemandangan Fenomena Gerhana Matahari Anulus (Separa) berjaya dirakam bermula jam 11.15 pagi hingga 1.08 tengahari di hadapan Dataran Masjid Zahir, Alor Setar hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fenomena gerhana matahari Anulus yang berlaku di Malaysia hari ini memberi pengalaman luar biasa khususnya kepada generasi muda mengenai ilmu astronomi dan kejadian alam semesta.

Dari Perlis hingga ke Sabah dan dari timur ke barat, fenomena gerhana matahari Anulus (Cincin) itu dapat dilihat, secara tepat di Tanjung Piai, bermula pukul 1.21 hingga 1.23 tengah hari, dan di Serian, fenomena astronomi itu berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 hingga 1.50 tengah hari manakala di tempat -tempat lain gerhana matahari separa.

Bukan sahaja penyelidik dan ahli sains yang kelihatan di beberapa tempat pencerapan gerhana matahari itu, tetapi ramai juga ibu bapa mengambil peluang memperkenalkan fenomena berkenaan kepada anak-anak mereka.

Di Taman Negara Johor Tanjung Piai, dekat Pontian, pasangan pensyarah Farszly Rahim dan Dr Sharina Abu Hanifah berkata kesempatan berkenaan digunakan untuk memperkenalkan kepada anak-anak mereka mengenai ilmu sains.

"Kami memang biasa bercerita mengenai sains dengan anak-anak dan mereka juga sering mengikuti kami untuk buat kajian lapangan. Walaupun, mereka masih kecil, mereka dah biasa dengan eksperimen sains dan mereka memang gemarkan serangga dan semua yang berada di angkasa lepas,” kata Sharina, pensyarah bidang kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Farszly, 41, pula merupakan pensyarah bidang Biologi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mereka bersama lima anak mereka iaitu Muhammad Fadhlul Hakim, 9; Nur Fadhilah Husna, 7; Nur Fadhilah Huda, 5; Nur Fadhilah Hanaa, 3 dan Nur Fadhilah Hashya, 2.

Bagi pegawai sains, Syahril Hirman Azmee, 40, ia adalah peluang untuk pihaknya mengkaji gelombang elektromagnet yang penting dan boleh digunakan untuk kajian cuaca dan angkasa.

"Selama dua minggu kami membuat persiapan untuk datang ke sini. Kami tak fokus hanya pada kajian bidang astronomi tetapi juga alam sekitar,” kata penyelidik dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Planetarium Negara di ibu negara, seorang pengunjung, Arnie Rohayu Rosli, 40, berkata fenomena 'cincin berapi' itu sudah lama dinantikannya selepas beliau menyaksikan sendiri gerhana matahari itu pada 1998.

"Saya memang dah tunggu lama (fenomena gerhana matahari Anulus). Kebetulan, sekarang cuti sekolah jadi saya ambil kesempatan ini bawa anak-anak sekali untuk saksikan gerhana matahari ini.

"Jadi, ini adalah peluang yang sangat bagus untuk anak-anak saya kerana mungkin dapat mewujudkan minat lebih mendalam terhadap bidang sains dalam jiwa mereka," katanya yang tinggal di Salak Tinggi, Kuala Lumpur dan mempunyai tiga orang anak.

Bagi pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Mohammad Amirul Amin Mohammad Zainol, 21, berkata kejadian alam itu merupakan kenangan yang tidak boleh dilupakan berikutan pertama kali beliau menyaksikan fenomena alam itu.

"Sebelum ini saya pernah nampak gerhana bulan sahaja dengan mata kasar, ini pertama kali saya nampak gerhana matahari secara separa penuh dan saya rasa teruja dengan kuasa yang Maha Esa," katanya.

Di Kota Kinabalu, seorang kakitangan awam, Nazirah Mohd Noor mengambil peluang membawa anak perempuannya Nuraisyah Fazilan Rahiman, 9, berkunjung ke Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, dekat sini.

Nazirah, 39, dari Manggatal berkata beliau mengambil inisiatif itu bagi mendedahkan anak perempuannya tentang fenomena alam supaya mempunyai pengetahuan seterusnya meningkatkan lagi penguasaan ilmu sains dari usia muda lagi.

"Saya memberi pendedahan kepada dia kerana saya mahu dia tahu tentang peredaran alam, kejadian alam. Saya mahu dia tahu mengenai dunia sains," katanya, yang berada di balai cerap itu sejak 11.30 pagi bagi menyaksikan fenomena itu. - Bernama