Kertas siasatan kes curi babit pegawai, anggota polis dirujuk ke IPK Pulau Pinang

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A
GEORGE TOWN - Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung tangkapan seorang pegawai dan enam anggota sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selangor berkaitan kes kecurian pelbagai barangan di rumah seorang lelaki di Air Itam, di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Kita sudah melakukan siasatan (kes ini) dan telah serahkan kertas siasatan kepada IPK...IPK kemudian akan rujuk kes ini ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.



"Kes ini diserahkan ke Bukit Aman terlebih dahulu kerana ia membabitkan pegawai dan anggota sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan seorang pegawai dan enam anggota polis yang bertugas di Selangor ditahan 10 November lepas bagi membantu siasatan kes curi di rumah seorang lelaki membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Kesemua mereka berusia 31 hingga 55 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga tukang paip berumur 40 tahun membuat laporan.
Artikel Berkaitan:


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan penahanan pegawai dan anggota polis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!