CIDB terima pengiktirafan antarabangsa untuk kakitangan binaan

Nanta (tiga dari kiri) melancarkan ICW 2023 edisi ke 22 anjuran CIDB di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Nanta (tiga dari kiri) melancarkan ICW 2023 edisi ke 22 anjuran CIDB di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerima Persijilan ISO/IEC 17024:2012 International Standard Organization dan International Electrotechnical Commission daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM).

ISO/IEC 17024:2012 ialah pensijilan untuk Penilaian Pematuhan: Keperluan am untuk pensijilan pengendalian badan bagi Individu, yang merupakan pengiktirafan antarabangsa dalam penilaian dan akreditasi kecekapan kakitangan pembinaan.

CIDB menerima ISO/IEC untuk tiga dagangan pembinaan yang mendapat permintaan tinggi dalam sektor minyak dan gas yang meliputi kimpalan, ujian tanpa musnah (NDT), peletupan dan pengecatan.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi kepada Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta dan Yusuf (tiga dari kiri) ketika melancarkan CIDB Standard Form Of Contract For Building Works 2022 Edition . - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Nanta dan Yusuf (tiga dari kiri) ketika melancarkan CIDB Standard Form Of Contract For Building Works 2022 Edition . - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Terdahulu Nanta melancarkan The Annual International Construction Week (ICW 2023) edisi ke-22 anjuran CIDB yang berjaya menghimpunkan pempamer menerusi BuildXpo yang diselaras bersama oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, dengan pensijilan ISO/IEC, semua Persijilan Kompetensi Kemahiran Pembinaan atau Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang dikeluarkan oleh CIDB Malaysia bagi ketiga-tiga bidang kompetensi ini akan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Latihan kecekapan kemahiran dalam kimpalan, NDT, latihan letupan dan mengecat untuk belia serta kakitangan pembinaan boleh didapati di pusat latihan milik penuh CIDB iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan ICW anjuran CIDB yang bermula 15 hingga 17 November ini, Yusuf berkata, ICW telah menjadi acara tahunan terulung untuk industri pembinaan di Malaysia selama lebih 20 tahun.

“ICW 2023 dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 4.30 petang dengan tema kali ini ‘Leading ESG in Construction’.

"Ia menekankan kepada kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang baik.

“Terdapat lebih 500 reruai pameran daripada lebih 50 syarikat yang mengambil bahagian mempamerkan inovasi terkini mereka.

"Kami menjangkakan sekurang-kurangnya 1,000 pelawat perdagangan menghadiri dan meneroka trend terkini, perkembangan dan teknologi dalam industri pembinaan," katanya.

Yusuf - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Yusuf - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sementara itu Nanta berkata, pihaknya berbangga dengan CIDB kerana mewujudkan Rangka Kerja Kelayakan Kemahiran Pembinaan (CSQF), sebuah sistem yang direka bentuk untuk menyediakan pendekatan berstruktur kepada pembangunan kemahiran dan latihan dalam industri pembinaan di Malaysia.

Menurutnya, CSQF mampu membimbing individu memperoleh kemahiran dan kelayakan yang diperlukan industri.

"Ia menandakan komitmen kami terhadap kecemerlangan, memastikan mereka yang memasuki sektor pembinaan dilengkapi dengan pengetahuan, keupayaan agar peranan mereka dalam industri menyerlah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!